SEREMBAN: Walaupun diuji dengan penyakit kanser payu dara tahap empat yang kini dihidapinya, seorang ibu kepada empat orang anak tetap menguatkan semangat diri untuk kembali sembuh.
Sahlawati Ab. Ghani, 56, berkata, berat badannya susut sehingga 34 kilogram (kg) malah kini perlu bergantung kepada mesin oksigen untuk membantu pernafasannya ekoran penyakit itu.
“Barah yang dihidapi mula dikesan pada 2023 dan merebak sehingga menjejaskan pernafasan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rawa, Lenggeng di sini semalam.
Menurutnya, dia tidak pernah menjalani pembedahan tetapi bergantung sepenuhnya kepada rawatan kemoterapi sebulan sekali di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.
“Setiap kali sesi kemoterapi, saya akan rasa loya, muntah dan tiada selera makan hampir seminggu. Berat saya turun dari 54kg ke 34 kg. Tetapi saya masih kuatkan diri untuk menguruskan kerja-kerja rumah,” katanya.
Sahlawati berkata, dia tetap tidak mahu mengalah terutama kepada tekanan emosi walaupun mengalami kesan-kesan sampingan akibat rawatan.
“Kalau kita tertekan, kita lagi cepat kalah. Kena rasa kita sihat, kena positif. Anak-anak saya semua beri semangat, tolong kerja rumah, itu yang buat saya kuat,” katanya.
Menurutnya, selepas enam sesi kemoterapi yang selesai dua minggu lalu, imbasan terkini akan menentukan sama ada kansernya merebak atau bertambah baik.
Sahlawati berkata, mereka mengharapkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Majlis Agama Islam meskipun suaminya pesara tentera.
“Setakat ini, saya hanya menerima bantuan mySalam sebanyak RM8,000 sekali bayar untuk penyakit kritikal dan bayaran RM150 sehari ketika dimasukkan ke hospital, namun hanya terhad untuk 14 hari setahun.
“Perbelanjaan bulanan saya untuk rawatan, ubat dan keperluan asas lebih kurang RM300. Kami cuba bertahan setakat yang mampu,” katanya yang dibantu oleh suami untuk mandi dan pergerakan harian.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban kos rawatan dan keperluan harian Sahlawati boleh menghubunginya terus di nombor 013-6773171.-UTUSAN










