KUALA TERENGGANU: Kempen politik negatif terhadap kerajaan hanya merugikan semua pihak apabila asyik berbalah antara satu sama lain.
Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya menghindarkan bentuk kempen politik seperti itu.
“Saya harap kempen dan ceramah negatif perlu ada kawalan. Ada tuduhan yang mengatakan saya tidak bantu orang Melayu dan itu tidak benar.
“Lihat sahaja pada program hari ini, saya menyaksikan pembangunan yang dijalankan di Terengganu hasil daripada pengumuman dalam belanjawan negara yang diumumkan tahun lalu.
“Saya berharap kerajaan negeri dapat mengekalkan hubungan baik dengan Persekutuan agar perancangan pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya ketika berucap merasmikan Program Madani Rakyat (PMR) Negeri Terengganu di Pasar Kedai Payang di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Kerja Raya,Datuk Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Anwar berkata, terdapat beberapa isu yang diutarakan hasil lawatannya ke negeri ini yang memerlukan tindakan segera daripada kerajaan seperti hakisan pantai yang belum dapat diatasi.
“Saya akan gesa kementerian bertanggungjawab supaya mencari solusi secepat mungkin untuk mengelak hakisan yang lebih teruk,” katanya.
Beliau berkata, melalui PMR Peringkat Negeri Terengganu dapat memperkukuh penglibatan rakyat secara langsung dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan negara serta mengangkat elemen kesejahteraan rakyat.
Pada majlis itu , beliau turut menyempurnakan Sesi Penyerahan Peranti Madani (PERMAI) kepada Pelajar eKasih Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 kepada 10 pelajar yang menunjukkan pencapaian yang cemerlang.
Penyerahan tersebut adalah antara usaha kerajaan dalam merapatkan jurang digital dalam kalangan pelajar daripada latar belakang kurang berkemampuan serta memperkasa akses kepada pendidikan berkualiti.
Sementara itu , Kementerian Kewangan juga menyerahkan ‘;mockup cheque’ peruntukan Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Seluruh Negara Tahun 2025 bernilai RM2.43 bilion kepada Kementerian Kerja Raya dan disaksikan Perdana Menteri.
Selesai sesi penyerahan, Perdana Menteri meninjau reruai-reruai pameran yang disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta.
Reruai tersebut menampilkan pelbagai perkhidmatan, peluang kerjaya, bantuan sokongan rakyat serta aktiviti interaktif bagi menarik minat pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat. – UTUSAN