Hasrat keluarkan album terkubur kerana body shaming - Utusan Malaysia

Hasrat keluarkan album terkubur kerana body shaming

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYANIE Hisham bukan nama asing dalam dunia hiburan tanah air kerana rata-rata peminat drama dan filem Melayu tentunya mengenali sosok ini.

Bahkan, Syanie yang berusia 51 tahun mencipta trademark tersendiri sebagai pelakon berbadan ‘comel’ yang pernah menjadi buruan pengarah serta penerbit untuk diketengahkan dalam naskhah berunsur komedi.

Memulakan penglibatan menerusi drama Sayang Si Montel pada tahun 1991, Syanie ketika itu hanyalah remaja belasan tahun yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dia kemudiannya ditawarkan pengarah, Aziz M. Osman untuk membintangi drama Cili Padi sebelum dilamar Azwan Ali untuk drama Lontong pada tahun 1995.

Selepas itu nama anak kelahiran negeri jelapang padi ini melonjak sekali gus diminati pengikut tersendiri.

Namun seperkara yang mungkin tidak ramai ketahui adalah Syanie juga menyimpan minat terhadap dunia nyanyian dan pernah menghasilkan album.

“Saya sebenarnya pernah guna duit simpanan untuk hasilkan album yang mengandungi 10 lagu.

“Tetapi saya tak pernah terbitkan album itu disebabkan ada pengedar yang kata ia tidak akan boleh dijual kerana imej saya yang berbadan besar.

“Katanya lagi, mungkin orang boleh terima saya sebagai pelakon, tetapi bukan sebagai penyanyi kerana katanya saya ini gemuk.

“Kata-kata pengedar itu mengecewakan saya dan membuat saya memutuskan untuk tidak mengeluarkan album tersebut,”kongsinya.

Kata Syanie, keinginan menghasilkan album bukan kerana ingin menjadi penyanyi profesional namun sekadar melunaskan hasrat terpendam.

“Ibu saya sifatkan saya ini mengada-ngada sebab mahu buat album. Saya tahu saya ini bukanlah penyanyi, tapi masa itu saya hendak hasilkan sesuatu untuk kepuasan diri sendiri,” ujarnya.

KUALA LUMPUR, 13 JANUARI 2024 – Sesi fotografi bersama selebriti, Syanie ketika program CSR dan Infak ‘The Part One Venture Brotherhood Initiative’ di Kafe Fusion 21, Subang Jaya di sini hari ini. GAMBAR – AMIR KHALID / PEMBERITA – HARYATI ( KOSMO )

BODY SHAMING

SEMANGAT yang terkumpul dalam diri pemilik nama sebenar Syaniza Hisham adalah selepas pengalaman bertahun-tahun dihina kerana berbadan besar.

Kata Syanie, setiap kecaman dan kejian ditelannya bulat-bulat sehingga tiada lagi istilah ‘terasa’ dengan kata-kata jahat yang diterima.

“Dulu istilah body shaming tidak meluas difahami seperti sekarang. Kalau pun ada yang mempersendakan fizikal saya, saya anggap mereka setakat mahu mengejek sahaja.

“Tapi pernah juga saya tarik sampai koyak baju seorang budak lelaki di sekolah kerana menghina fizikal saya.

“Boleh katakan, masa kecil memang puaslah saya dihina dan dibuli. Pulang sekolah selalu menangis. Sampaikan saya tanyakan kepada ibu saya, adakah saya ini terlalu berbeza sehingga selalu sangat diejek?” jelasnya.

Kata Syanie lagi, memiliki fizikal yang comel perlu seiring mental yang kental selain pemikiran positif. Katanya, usah ambil serius apabila dihina, kerana hidup bukan untuk orang lain.

“Memanglah sedih apabila selalu dihina kerana berbadan besar, tetapi saya juga, sejak usia kanak-kanak lagi sentiasa fikir positif.

“Mak dan ayah saya pula bercerai sejak saya berusia 11 tahun. Pelbagai cabaran hidup sudah saya lalui dan keadaan itu membuatkan pemikiran saya cepat matang.

“Selain itu, saya ini anak sulung, jadi memang sentiasa mahu menjaga dan melindungi ibu serta adik beradik saya. Sejak dulu lagi saya melatih diri supaya kental,” kongsinya.

TIDAK TINGGALKAN DUNIA LAKONAN

SYANIE dalam pada itu tidak menafikan dirinya sudah lama tidak menerima tawaran berlakon selepas kali terakhir membuat kemunculan dalam filem Zim Zim Ala Kazim.

Kata Syanie, dia sendiri juga tertanya-tanya apa sebabnya sehingga ke hari ini tiada penerbit atau pengarah yang menghubungi untuk memberikan kerja lakonan kepadanya.

“Mungkin buat masa ini tiada watak atau cerita yang sesuai dengan saya. Tambah pula sekarang ini pelakon ramai macam cendawan tumbuh selepas hujan.

“Pada masa sama, pelakon berbadan ‘comel’ seperti saya jumlahnya sekarang ini semakin ramai.

“Atau mungkinkah watak yang sesuai dengan penampilan saya yang berhijab ini tidak banyak. Entahlah, saya pun kurang pasti kenapa kebelakangan ini tiada menerima tawaran.

“Saya pula tidak pernah mengatakan sudah berhenti berlakon. Tidak mengapalah, saya percaya, rezeki Allah S.W.T yang tentukan,” katanya.

Sambung Syanie lagi, dia merasakan dirinya tidak perlu lagi menghadiri uji bakat memandangkan sudah mempunyai profil yang cukup kuat sebagai pelakon.

“Sudah 34 tahun saya menjadi pelakon selepas bermula pada usia 17 tahun. Pelbagai watak telah saya bawa, masyarakat pun sudah mengenali saya.

“Jadi, mungkin pada tahap sekarang ini, rasanya tidak perlu lagi saya datang uji bakat dan sebagainya.

“Saya yakin kalau ada tawaran maka orang akan panggil saya berlakon. Oleh itu, rasanya tidak perlulah saya mencari,” kongsinya.

Dalam pada itu, Syanie memaklumkan dia tidaklah kecewa dengan keadaan tersebut namun mengakui menyimpan sekelumit rasa rindu untuk kembali berlakon.

“Cuma teringin sekali lagi beraksi depan kamera dan berkumpul semula dengan rakan industri. Mungkin buat masa ini belum ada rezeki.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana masih ada peminat yang menyokong dan sentiasa menunggu kemunculan saya dalam drama atau filem,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN