PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Semakan dan Pembaharuan Undang-Undang Maritim Malaysia (MLRRC) bagi memperkasa landskap perundangan sektor maritim negara.
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan memaklumkan, seramai 23 ahli tetap dilantik menganggotai jawatankuasa itu bersama Hakim Mahkamah NCC 2 & Dagang 9 (Admiralti), Ong Chee Kwan selaku Timbalan Pengerusi.
Katanya, penubuhan jawatankuasa itu akan melaksanakan proses semakan, kajian pembaharuan dan penggubalan undang-undang maritim secara berfasa, mengambil kira magnitud serta kompleksiti kerja setiap instrumen perundangan yang terlibat.
“Pada masa sama, jawatankuasa ini turut diberikan mandat menyemak dan mengesyorkan penambahbaikan terhadap undang-undang maritim di bawah bidang kuasa kementerian dan agensi lain, memandangkan sistem perundangan maritim negara bersifat polisentrik.
“Malaysia, sebagai negara perdagangan yang bergantung kepada sektor perkapalan dan Pelabuhan di mana 94.6 peratus dagangan negara adalah melalui laut.
“Ia memerlukan undang-undang maritim yang cekap, relevan dan selari dengan amalan antarabangsa,” katanya hari ini.
MOT berkata, fasa pertama tugasan MLRRC akan memberi tumpuan kepada enam instrumen perundangan utama iaitu Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 [Ord. 70/1952]; Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 (Sabah) [Ord. No. 11/1960] dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 (Sarawak) [Ord. No. 2/1960].
Ini termasuk Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang 1955 [Akta 140]; Akta Lembaga Pelabuhan 1963 [Akta 488] dan Akta (Penswastaan) Pelabuhan 1990 [Akta 422].
“Bagi memperkukuh kepakaran teknikal, seramai lapan orang pakar Ad Hoc turut dilantik merangkumi bidang perkapalan, operasi pelabuhan, latihan maritim dan undang-undang perkapalan antarabangsa.
“Pelaksanaan semakan dan pembaharuan undang-undang ini akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga tahun hadapan, seiring dengan Dasar Pengangkutan Negara serta menyokong agenda reformasi perundangan maritim negara ke arah sebuah sistem yang lebih mampan, inklusif dan dinamik ,” katanya. – UTUSAN