KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan keputusan menurunkan had umur pemegang jawatan pertubuhan belia kepada 30 tahun akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2026 tanpa sebarang penangguhan lagi.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, walaupun terdapat permintaan supaya had umur dilanjutkan kepada 35 tahun, kerajaan tetap berpegang pada keputusan yang telah dimuktamadkan sejak 2023.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memberi peluang kepada golongan belia sebenar menerajui pertubuhan, sekali gus membentuk barisan kepemimpinan muda yang lebih dinamik dan inklusif.
“Kerajaan tidak akan menangguhkan lagi pelaksanaan ini selepas dua kali diberi kelonggaran sebelum ini. Semua persatuan perlu bersedia dan patuh kepada pindaan akta tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Sidang I, Penggal Ke-35 Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sesi 2025–2026 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras, di sini hari ini.
Katanya, kementerian telah menjalankan beberapa siri libat urus dan turut menyalurkan dana bagi memudahkan proses transisi, termasuk kepada pertubuhan belia luar bandar dan Sabah serta Sarawak.
“Setakat ini, sebanyak 8,272 pertubuhan belia berdaftar secara sah di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), dengan 54 peratus daripada 99,139 pemegang jawatan terdiri daripada individu berumur di bawah 30 tahun.
Antara pertubuhan yang telah membuat pindaan ialah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Belia India Malaysia (MIYC) dan Majlis Belia Hindu Malaysia (HYO),” katanya.
Beliau berkata, pindaan itu tidak akan menjejaskan dasar kementerian-kementerian lain kerana ia hanya membabitkan transisi umur kepemimpinan dalam pertubuhan belia mengikut ketetapan Akta A1602.
Hannah berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga akan membawa kertas ke Kabinet bagi memastikan kementerian lain kekal menyokong program dan polisi pembangunan belia tanpa gangguan kesan daripada perubahan ini.
Dalam persidangan MPBN itu, tiga usul utama telah dibahaskan iaitu berkaitan keselamatan jalan raya, kemasukan ke institusi pengajian tinggi dan kajian semula terhadap dasar persaraan negara.
“Kami sokong cadangan agar kerajaan bentang Kertas Putih Keselamatan Jalan Raya di Parlimen. Langkah ini penting untuk rancang dasar lebih komprehensif dan tahan lama,” katanya.
Tambahnya, penambahbaikan saluran kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta usaha memperkasa institusi prauniversiti amat penting agar lebih inklusif dan selaras dengan kehendak pasaran semasa.
Selain itu, katanya, semakan semula dasar persaraan turut relevan dalam memastikan pendidikan dan kebajikan generasi muda lebih terjamin, progresif dan menepati keperluan semasa negara.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan pihak kementeriannya bersedia membantu atlet badminton profesional negara, Lee Zii Jia sekiranya memerlukan sokongan kesihatan mental daripada Institut Sukan Negara (ISN).
“Perkhidmatan psikologi sentiasa tersedia untuk semua atlet termasuk yang tidak lagi bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), malah Zii Jia boleh terus hubungi beliau saya bila bersedia,” ujarnya.- UTUSAN