MELAKA: Guru-guru di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang ditempatkan di Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Tunas Istimewa akan dihantar mengikuti program sekolah khas di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, ia sebagai persediaan membuka lebih banyak tabika khas tahun depan dengan sasaran sebuah Tabika Tunas Istimewa di setiap negeri.
Beliau berkata, mereka bukan sahaja didedahkan dengan teori tetapi turut melibatkan kemahiran dalam mengendalikan anak-anak autistik.
“Berdasarkan pemerhatian saya di sekolah khas KPM, sosial murid (autisme) ini dapat dibentuk dalam masa enam ke tujuh bulan. Tujuan kita nak pastikan anak-anak ini mendapat peluang pendidikan, berdikari dan mengikuti pendidikan formal.
“Kita mendoakan kelas ini akan lebih berjaya dan cikgu lebih efektif supaya anak-anak ini dapat dibentuk dan membangkitkan potensi mereka. Kita juga tidak mahu apa-apa isu timbul dan masalah apabila kelas dibuka kelak,” katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja ke Tabika Kemas Hang Jebat di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM300,000 kepada tiga Tabika Tunas Istimewa di Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.
Katanya, peruntukan itu bertujuan membantu menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif dan selesa untuk murid.
“Tiada jumlah khusus kepada setiap tabika, sebaliknya bergantung kepada lokasi dan keperluan premis berkenaan.
“Contohnya Tabika Kemas Hang Jebat memerlukan penyaman udara sebab anak-anak ini (belajar) dalam keadaan panas. Saya difahamkan keperluan mendesak ini akan disediakan dengan segera demi keselesaan murid,” katanya.-UTUSAN










