Gudang LPG diserbu kali kedua, 4,500 tong Dirampas

Gudang LPG diserbu kali kedua, 4,500 tong Dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur merampas 4,500 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai lebih RM400,000 yang diseleweng dalam serbuan di sebuah gudang di Jalan Ipoh di sini, malam tadi.

Malah, sindiket yang berselindung di sebalik lesen sah sebelum ini pernah diserbu tahun lalu yang melibatkan kartel sama, namun kali ini menggunakan nama syarikat serta lokasi berbeza.

Ops Kesan itu dijalankan KPDN Kuala Lumpur dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hasil risikan selama sebulan.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd. Sabri Seman berkata, dalam serbuan bermula kira-kira pukul 11.20 malam itu, pihaknya merampas 4,500 tong LPG bernilai lebih RM400,000.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati gudang berkenaan dijadikan tempat pemindahan (decanting) gas LPG bersubsidi 14 kilogram (kg) yang sepatutnya untuk kegunaan isi rumah ke dalam tong 50kg bagi kegunaan industri.

“Proses decanting dilakukan pada waktu menggunakan ais sebagai kaedah tradisional.

“Kita kesan terdapat pergerakan keluar masuk lori ais sekurangnya dua kali ke premis terbabit,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata, tong gas industri itu kemudian dipercayai akan dijual semula ke premis seperti hotel dan kilang.

Jelasnya, KPDN percaya kegiatan terbabit melibatkan kartel dan sindiket yang sama, namun menggunakan nama syarikat serta lokasi yang berbeza sahaja.

“Kita anggarkan ada empat hingga lima syarikat. Mereka (sindiket) akan tukar-tukar nama selepas ditangkap dan kita berjaya kesan modus operandi ini.

“Lokasi ini pernah diserbu pada Ogos tahun lepas kemudian sindiket tukar nama syarikat dan beroperasi dengan lesen sah sebagai pemborong,” ujarnya.

Jelasnya, dalam serbuan ini, dua lelaki warga Bangladesh yang dipercayai menyalahgunakan permit kerja turut ditahan.

“Pemilik premis iaitu lelaki tempatan telah dikenal pasti dan tindakan akan diambil mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN