KAJANG: Seramai 1,528 graduan Universiti Islam Selangor (UIS) menyambut kejayaan pengajian mereka dengan penuh kebanggaan apabila institusi itu secara rasmi diiktiraf sebagai universiti penuh sejak penubuhannya pada tahun 1995.
Graduan terlibat diraikan dalam Istiadat Konvokesyen UIS Ke-27 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu, sekali gus menjadi kumpulan pertama yang menamatkan pengajian di bawah status baharu institusi itu sebagai sebuah universiti penuh.
Istiadat itu disempurnakan Pro Canselor 1 UIS, Datuk Salehuddin Saidin yang menyampaikan sijil kepada graduan peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD).
Penerima ijazah sarjana muda kelas pertama, Muhammad Ismail Muhammad Rikhan berkata, pengiktirafan status universiti penuh sebagai satu titik penting dalam sejarah institusi itu yang memberi keyakinan tinggi kepada para graduan.
“Nama UIS kini membawa reputasi yang lebih kukuh dan memberi kelebihan dalam pasaran kerja. UIS bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi ruang membina sahsiah dan nilai insan,” katanya.
Seorang lagi penerima ijazah sama, Nur Aisyah Alya Shamsul Anuar berkata, pencapaian tersebut membuktikan keupayaan UIS sebagai sebuah institusi pengajian tinggi Islam yang progresif dan berdaya saing.
“Pengiktirafan tersebut memberi nilai tambah kepada kelayakan akademik kami dan memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap lulusan UIS,” katanya.
Menurut Nur Aisyah, pencapaian memperoleh nilai gred purata kumulatif (CGPA) terbaik setiap semester belum tentu menjanjikan peluang pekerjaan sekiranya institusi pengajian tidak mempunyai pengiktirafan sah daripada pihak berkuasa, khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Setinggi mana pun keputusan akademik, majikan tetap akan menilai dari mana kita datang. Jika institusi tiada pengiktirafan, kelayakan kita boleh dipersoalkan dan peluang kerjaya mungkin terjejas,” katanya.
Tambahnya, dengan status UIS kini sebagai universiti penuh, beliau lebih yakin kelayakannya sebagai alumni akan diterima baik oleh industri dan memberi kelebihan dalam persaingan kerjaya.
UIS sebelum ini dikenali sebagai Kolej Islam Darul Ehsan (KISDAR) sebelum dinaik taraf kepada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan kini dikenali sebagai Universiti Islam Selangor. – UTUSAN











