KUALA LUMPUR: Filipina akan meneruskan segala usaha murni yang telah dilaksanakan Malaysia sepanjang tahun ini sebaik sahaja mengalas tugas sebagai Pengerusi ASEAN bermula 2026.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Ma Theresa P Lazaro berkata, persiapan sedang giat dijalankan negaranya mengambil alih kepengerusian ASEAN tahun depan.
“Kami akan mengekalkan fokus dalam bidang keamanan dan keselamatan, kerjasama maritim serta perubahan iklim yang sebenarnya turut menjadi tumpuan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan, hari ini.
Butiran lanjut akan diumumkan menjelang suku keempat tahun ini apabila Malaysia menyerahkan kepengerusian kepada Filipina.
Dalam pada itu, Lazaroyang yang baharu dilantik sebagai Setiausaha Hal Ehwal Luar berkuat kuasa 1 Julai berkata, usaha hubungan dua hala berterusan Malaysia dan Filipina kini di ambang kecemerlangan didorong pengukuhan kerjasama hal ehwal serantau, perdagangan dan pelaburan.
Katanya, pengukuhan tersebut dibantu dengan hubungan erat di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr.
“Saya berpendapat hubungan dua hala antara Filipina dan Malaysia kini hampir ke tahap cemerlang, kalau boleh saya katakan begitu kerana hubungan baik antara pemimpin kedua-dua negara.
“Mereka saling mengenali dan mempunyai hubungan yang sangat baik,” katanya.
Lazaro yang menggantikan Enrique Manalo selepas beliau dilantik sebagai Wakil Tetap Filipina ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan di luar sesi AMM kelmarin.
Antara lain, mesyuarat itu menilai status kerjasama dua hala yang dibincangkan semasa Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Filipina pada Oktober 2024.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang dijadual dari 8 hingga 11 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, menghimpunkan kira-kira 1,500 delegasi termasuk Menteri Luar ASEAN, Timor-Leste, rakan kongsi ASEAN, diplomat kanan dan para pegawai untuk membincangkan pelbagai isu global dan serantau yang mendesak, memperkukuh kerjasama dan memajukan agenda keselamatan serta kemampanan di rantau ASEAN. – UTUSAN