KUALA LUMPUR: Pelakon, Hisyam Hamid, percaya pujian yang diberikan rakan selebriti, Nur Fazura yang mengatakan dirinya seorang ‘family man’ dalam sesi siaran langsung baru-baru ini hanyalah sebuah penghargaan biasa.
Bagaimanapun, Hisyam atau Hazmi Hisyam Abdul Hamid, 40, faham sekiranya ada pihak salah anggap atau berharap sesuatu yang lebih istimewa daripada itu.
“Saya tengok video siaran langsung itu, dia (Fazura) cerita pun secara umum dan kebetulan kami pernah berlakon sama.
“Mungkin sebab dia tengok cara saya layan anak-anak menyebabkan dia puji daripada sudut itu. Saya tidak rasa dia ada niat lain, kadang-kadang peminat jadi teruja dengan perkongsian tersebut.
“Bagi saya tiada isu pun kalau nak puji sesiapa, lebih-lebih lagi kebaikan yang dibuat sebagai seorang ayah atau ibu,” katanya.
Hisyam ditemui Utusan Malaysia semasa sidang media tayangan perdana Memori di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Hisyam mengakui sejak bergelar duda, dia sering digosipkan dengan selebriti berbeza namun hanya menganggap ia sekadar usikan manja daripada peminat.
“Saya rasa isu ‘dikenenkan’ (digosipkan) dengan artis wanita adalah kerana status kami sebagai ibu dan bapa tunggal.
“Saya rasa sebab status membuatkan jadi begini, sebelum ini tidak ada pun. Saya pun tak boleh nak buat apa.
“Tapi kalau boleh saya mahu elak daripada kontroversi,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai reaksi kedua anaknya iaitu Nurish Syameliah, 18 dan Haydeen, 16, mereka nampaknya menyedari setiap gosip yang berlegar membabitkan bapanya.
Namun dalam nada berseloroh, Hisyam sempat berkongsi bahawa anak lelakinya pernah meluahkan hasrat enggan membenarkan pelakon itu berkahwin lagi.
“Ada sekali tu bila dah dikenenkan dengan seorang artis, saya tidak mahulah sebut siapa. Anak saya DM hantar link artikel kemudian cakap ‘ayah.. run! (lari).
“Tapi saya anggap itu satu gurauan. Anak-anak sudah mula untuk belajar menyesuaikan diri dengan kehidupan kami sekarang ini.
“Anak lelaki saya pun ada kata saya tak perlu kahwin kerana sudah ada segalanya tetapi mak saya tegur, tak baik kata macam itu sebab saya masih muda,” jelasnya.
Tegas Hisyam, buat masa ini keutamaannya masih anak-anak dan mengelak daripada terpalit dengan apa-apa isu bagi menjaga emosi anak-anak.
“Daripada dulu siapa yang kenal saya tahu keluarga adalah keutamaan. Kalau lihat saya tiada kontroversi sebelum ini bukan kerana saya baik tetapi mahu jadi contoh terbaik buat anak-anak.
“Lagipun mereka dah besar dan sudah ada kawan-kawan yang kenal siapa saya. Kesihatan mental mereka adalah keutamaan saya,” katanya.
Terdahulu, menerusi sebuah siaran langsung Fazura berkongs pandangan memgenai personaliti Hisyam Hamid ketika ditanya oleh seorang peminat.
Fazura memuji sikap Hisyam yang disifatkan sebagai ‘family man’. – UTUSAN