EU komited perkukuh hubungan dengan ASEAN

EU komited perkukuh hubungan dengan ASEAN

KAJA KALLAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kesatuan Eropah (EU) komited mengukuhkan hubungan dengan ASEAN yang kini berdepan dengan ketidakstabilan geopolitik global serta mengurangkan kebergantungan bekalan tenaga dari Russia.

Wakil Tinggi EU bagi Dasar Luar dan Keselamatan, Kaja Kallas berkata, kerjasama erat antara EU dan ASEAN penting bagi menangani cabaran global masa kini serta mempertahankan sistem dunia berasaskan peraturan.

“Kenderaan elektrik Eropah kini menggunakan bateri yang komponennya datang dari Indonesia. Thailand pula adalah pengeluar getah terbesar dunia. Ini menunjukkan ekonomi kita semakin saling berkait.

“EU dan saya sendiri, komited untuk mengukuhkan hubungan kami di rantau ini, termasuk dengan ASEAN,” katanya pada Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri ASEAN dengan EU di sini, hari ini.

Sebagai dua blok serantau paling berpengaruh di dunia, katanya lagi, berkongsi nilai bersama adalah perlu serta bertanggungjawab mempertahankan sistem antarabangsa berasaskan peraturan, terutamanya ketika berlaku ketidakstabilan geopolitik global.

“Dunia kini sedang menyaksikan ketidakstabilan geopolitik yang ekstrem. Banyak prinsip asas yang selama ini kita anggap pasti, kini mula dipersoalkan termasuk kedaulatan wilayah dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Dalam berdepan pencerobohan haram Russia ke atas Ukraine, pelbagai konflik di Asia Barat dan ketegangan meningkat di Laut China Selatan, kita berdiri teguh sebagai penyokong multilateralisme dan integrasi serantau,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia dan Brunei atas sumbangan kedua-dua negara dalam membantu EU mempelbagaikan sumber tenaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN