Enam lelaki mengaku larikan warga Palestin dihukum penjara

Enam lelaki mengaku larikan warga Palestin dihukum penjara

SEBAHAGIAN ahli keluarga hadir bagi perbicaraan 14 individu yang dipercayai ejen Mossad, yang didakwa menculik seorang pakar komputer Palestin dua tahun lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.-UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Enam lelaki dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan melarikan dan mengurung seorang lelaki warga Palestin di sebuah chalet, tiga tahun lalu.

Hakim K. Muniandy menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Norakmal Hassan, 46; Mohd. Azwan Jamaludin, 42; Dody Junaidi, 47; Mohamad Sufian Saly, 28; Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 54; dan Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 28, selepas menerima pengakuan salah mereka.

Hukuman penjara terhadap Mohamad Norakmal, Mohamad Sufian dan Muhammad Al Hatim diperintahkan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 29 September 2022 manakala hukuman pemenjaraan bagi Mohd. Azwan dan Tengku Hazarul, masing-masing diperintahkan bermula  11 Oktober 2022 dan 14 Disember 2023.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melarikan mangsa secara paksa supaya lelaki Palestine dikurung secara salah dan rahsia di Jalan Mayang, Dang Wangi di sini pada pukul 10.40 malam, 28 September 2022.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, mangsa dilarikan dan dikurung di sebuah chalet di Hulu Langat. 

Serbuan polis yang dilakukan berdasarkan maklumat berjaya menyelamatkan mangsa yang ketika itu berada dalam keadaan tangan dan kaki diikat dengan pengikat kabel.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Badius Zaman Ahmad memohon hukuman mahkamah mengenakan hukuman penjara minimum lima tahun terhadap kesemua tertuduh atas alasan kesalahan yang dilakukan memberi kesan buruk kepada negara.

“Kesemua tertuduh sebelum ini berdepan pertuduhan menculik, namun pihak pendakwaan telah menerima representasi mereka dan menawarkan pertuduhan pilihan. Mereka seharusnya bersyukur,” katanya yang mengendalikan pendakwaan bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sabri Othman.

Sementara itu, peguam bela, Norma Goh Kim Lian yang mewakili kelima-lima tertuduh memohon anak-anak guamnya dikenakan hukuman minimum atas alasan tertuduh-tertuduh telah insaf, mempunyai tanggungan keluarga serta tidak mendapat sebarang faedah daripada perbuatan tersebut.

Tambahnya, mereka juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan sentiasa memberikan kerjasama sepanjang siasatan.

Peguam bela, Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Muhammad Al Hatim turut merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah menyesal, memohon maaf atas perbuatannga dan tidak pernah terlibat dalam sebarang jenayah sebelum ini.

Dalam pada itu, kes terhadap lapan lagi tertuduh yang terlibat dalam penculikan mangsa sama diteruskan dengan perbicaraan.

Mereka ialah Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 44; Mohamad Naziree Mustapha, 44; Faizull Hardey Mohd Isa, 45; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 30; Mohd Zaidi Mohd Zain, 59; Nidarahayu Zainal, 39; Raibafie Amdan, 44; dan Edy Ko’im Said, 45.

Mereka didakwa secara bersama menahan lelaki Palestin berusia 31 tahun itu untuk mendapatkan ganjaran berupa maklumat rahsia berkaitan perisian bagi menggodam telefon bimbit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi, pada tarikh dan masa yang sama mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 hingga 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Tengku Arif Bongsu dan pasangan suami isteri, Nidarahayu serta Raibafie turut berdepan 19 pertuduhan melibatkan nilai lebih RM250,000 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN