GEORGE TOWN : Enam cedera dengan empat daripada mereka parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan lima buah kenderaan di tiga lokasi di sekitar Jalan Perak dan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini, kira-kira pukul 8.30 malam tadi.
Kejadian itu berlaku apabila sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 dipercayai melanggar dua buah kereta serta dua buah motosikal bermula di simpang lampu isyarat Jalan Perak sehingga ke lebuh raya menghala ke Batu Uban.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan awal mendapati, SUV terbabit pada mulanya telah melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Myvi ketika tiba di simpang lampu isyarat Jalan Perak.
“Suspek (pemandu SUV) kemudian meneruskan pemanduan dan melanggar dua buah motosikal iaitu jenis Honda Vario dan Honda C100 di lokasi berasingan di Jalan Perak sebelum melanggar pula bahagian belakang sebuah Honda City di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu,” katanya.
Menurut Abdul Rozak, kesemua mangsa termasuk pemandu SUV berusia 50 tahun itu yang mengalami kecederaan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Antara yang cedera parah termasuk penunggang dan pembonceng motosikal Honda C100; masing-masing berusia 56 dan 15 tahun serta penunggang Honda Vario dan pemandu Honda City yang kedua-duanya berumur 29 tahun.
“Sementara itu, pemandu Perodua Myvi iaitu seorang wanita berusia 44 tahun hanya mengalami cedera ringan,” katanya yang memberitahu kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN







