GEORGE TOWN : Empat daripada lima buah premis di sini diarah menutup operasi mereka buat sementara waktu selepas gagal mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan dalam satu operasi bersepadu yang diketuai oleh Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), kelmarin.
Jurucakap MBPP berkata, kesemua empat premis yang membabitkan tiga buah restoran serta sebuah kedai runcit itu perlu menutup operasi mereka selama 14 hari iaitu sehingga 4 Ogos depan untuk kerja-kerja pembersihan.
Katanya, arahan penutupan dibuat mengikut Undang-Undang Kecil 38(1), Undang-Undang Kecil (Establisymen Makanan) MPPP 1991 selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihan yang tidak memuaskan termasuk penemuan najis tikus di kawasan dapur dan rak penjualan makanan.
“Pemeriksaan turut mendapati peralatan dapur dan ruang penyimpanan bahan makanan tidak diselenggara dengan baik serta wujudnya unsur pencemaran,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, katanya, satu lagi premis turut dikenakan kompaun di bawah Seksyen 47(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana tidak menyelenggara perangkap minyak (grease trap) yang menyebabkan sisa makanan mengalir ke parit awam dalam operasi berkenaan.
Katanya, operasi turut memfokuskan kepada pemeriksaan lesen perniagaan, status suntikan vaksin anti tifoid pengendali makanan serta pengesahan status pekerja sama ada warga tempatan atau asing. – UTUSAN










