Empat lelaki ditahan ketika cuba curi kabel

Empat lelaki ditahan ketika cuba curi kabel

SAZALEE ADAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Empat lelaki ditahan ketika sedang memotong kabel dalam lubang laluan kabel di tepi jalan Persiaran Mahsuri, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 3.30 pagi ketika anggota polis sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan dilakukan selepas anggota ternampak sebuah lubang laluan kabel dalam keadaan terbuka.

“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat empat lelaki berusia 28 hingga 44 tahun berada dalam keadaan mencurigakan sedang memotong kabel menggunakan alat pemotong,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek pertama, polis kemudian menemukan alat pemotong kabel berwarna merah dan hitam bertulisan yang sedang digenggam di tangan kanan suspek.

Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam lubang laluan kabel pula mendapati, sebanyak 15 batang keratan kabel hitam telah dipotong.

“Turut dirampas ialah satu alat penarik kabel bersama tali pengikat dan besi penyangkut, satu bateri dan satu lampu LED berwarna putih.

“Kesemua suspek berasal dari Sungai Petani, Kedah dan bekerja sebagai buruh serta tukang perabot dan mereka kini ditahan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN