SHAH ALAM: Polis merakam percakapan lima individu berhubung kes seorang penceramah bebas yang didakwa menyebarkan video seks isteri-isterinya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, semua individu atau saksi itu termasuk empat isteri suspek lelaki berkenaan.
“Lima saksi itu telah dirakamkan percakapan dan kita ada saksi baharu namun ia bagi membantu siasatan. Proses siasatan masih dijalankan dan akan segera dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan polis menyiasat penceramah berusia 39 tahun itu selepas menerima laporan daripada isteri kedua suspek pada 16 Jun lalu.
Pengadu mendakwa lelaki itu menyebarkan video seks dirinya dan madu-madu lain sebelum semakan polis menemukan beberapa video seks serta gambar wanita lain dalam telefon bimbit.
Suspek direman empat hari dan diberi jaminan polis sementara siasatan kes dilengkapkan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Seksyen 14 Kesalahan Kecil 1955.
Semalam, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengesahkan tauliah mengajar agama penceramah itu telah ditarik semula pada 2022 dan turut pernah ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Suspek ditahan pada September 2024 kerana mengajar agama Islam tanpa tauliah yang menyalahi Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003. – UTUSAN