Empat cedera Perodua Alza terjunam ke dalam sungai

Empat cedera Perodua Alza terjunam ke dalam sungai

BEBERAPA anggota bomba cuba menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam sebuah Perodua Alza yang terjunam ke dalam sungai di Jalan York, George Town, Pulau Pinang.-GAMBAR/JBPM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Empat cedera dengan tiga daripadanya parah apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang mereka naiki terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai di Jalan York di sini, hari ini.

Mangsa yang parah dikenali sebagai Rashidah Bee Shaik Mydin, 54; Fatimah Beevi P.M. Mydin, 59, dan Mydin Fatimah P.M. Mydin, 63, manakala seorang lagi mangsa iaitu Mohd. Barak Abdul Latiff, 64, hanya mengalami cedera ringan akibat kejadian itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut kira-kira pukul 3.24 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak kemudian segera dikerah ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat.

“Sebaik tiba di sana,kami dapati kesemua mangsa masih terperangkap dalam kenderaan berkenaan yang berada dalam air.

“Operasi menyelamat seterusnya dijalankan dengan menggunakan peralatan khas kebombaan dan kesemua mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 4 petang,” ujar beliau.

Menurutnya, kesemua mangsa turut diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan sebelum dihantar ke hospital berhampiran menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut dan operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya tidak lama selepas itu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN