JASIN : Empat buah bilik guru dan sebuah pejabat pentadbiran di tingkat satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Merlimau, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Sukur Md Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.36 pagi menerusi talian MERS 999.
“Jentera pertama dari BBP Merlimau digerakkan ke lokasi dua minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan keluasan anggaran 120 x 20 kaki persegi dengan kemusnahan kira-kira 80 peratus,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan memandangkan sekolah masih belum beroperasi pada waktu tersebut.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dan tiga pancutan air dari pili bomba berhampiran.
Seramai 19 anggota bomba dari empat balai termasuk BBP Merlimau, BBP Jasin, BBP Padang Temu dan BBP Bukit Katil dikerahkan dalam operasi tersebut.
Setakat pukul 7 pagi, kerja-kerja pemadaman masih diteruskan dan punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN