SEPANG: Dua suspek kes bunuh pelajar universiti di Cyberjaya akan dituduh di Mahkamah Majistret Sepang di sini, pagi esok.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, dua suspek itu masing-masing seorang lelaki akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala, seorang wanita akan dituduh mengikut Seksyen 109/302 Kanun Keseksaan kerana bersubahat.
Beliau berkata, pihaknya telah selesai menjalankan siasatan kes berkenaan selepas menahan seorang suspek lelaki dan tiga wanita berusia antara lingkungan 19 dan 20 tahun.
“Kertas siasatan telah dirujuk ke kamar Timbalan Pendakwa Raya Selangor pada hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Selain itu, katanya, dua lagi suspek berusia lingkungan 19 dan 20 tahun telah dibebaskan dengan jaminan bon Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah dan akan dijadikan saksi pendakwaan.
Norhizam berkata, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, pesalah boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atau jika tidak dihukum gantung sampai mati, penjara tidak kurang tiga puluh tahun dan tidak melebihi empat puluh tahun dan hendaklah disebat tidak kurang daripada dua belas kali.
“Manakala, bagi Seksyen 109/302 Kanun Keseksaan pula, jika disabitkan kesalahan hukuman adalah sama sebagaimana hukuman Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Sepang pukul 9 pagi esok.
Jelasnya lagi, pihak polis mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama sepanjang siasatan kes ini sehingga suspek berjaya dihadapkan ke mahkamah.
Media sebelum ini melaporkan, seorang penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi, berasal dari Sarawak ditemukan maut di unit kondominiumnya di Cyberjaya oleh seorang rakan, pada 10 pagi 24 Jun lalu.
Mangsa dilaporkan tinggal seorang diri selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu. – UTUSAN