KUANTAN: Dua penuntut Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) maut selepas motosikal ditunggang mereka merempuh sebuah van ambulans di persimpangan lampu isyarat berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar, Jalan Gambang di sini, hari ini.
Mangsa, Muhammad Zuhair Rifqi Abdul Jalil, 21, pelajar Diploma Pengajian Quran dan Sunnah, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya, Muhammad Firdaus Mohammad Zamri, 22, pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Pentadbiran Kehakiman (Kepujian), pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Gambang menuju ke pusat bandar.
Katanya, siasatan awal mendapati van ambulans berkenaan dalam perjalanan membawa seorang pesakit dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) ke Bukit Rangin.
“Ketika van ambulans membelok ke kanan di persimpangan lampu isyarat dengan menggunakan siren, motosikal yang datang dari arah Gambang melanggar bahagian sisi kenderaan tersebut,” katanya.
Menurut beliau, pemandu ambulans berusia 49 tahun dan pembantu perubatan berusia 43 tahun turut cedera dan kini menerima rawatan lanjut di hospital. – UTUSAN