Dua lelaki maut pacuan empat roda langgar belakang lori - Utusan Malaysia

Dua lelaki maut pacuan empat roda langgar belakang lori

ANGGOTA bomba membawa keluar dua mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 253, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Dua lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka melanggar belakang sebuah lori muatan baja di Kilometer 253, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kemalangan membabitkan dua kenderaan itu diterima pada pukul 5.51 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dibantu BBP Kuala Kangsar dihantar ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati pemandu dan penumpang pacuan empat roda tersepit di tempat duduk kenderaan.

“Kedua-dua mangsa berusia 25 dan 22 tahun itu bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kerja-kerja penyelamatan segera dilakukan dengan menggunakan peralatan telescopic bagi membuat regangan dan alat pemotong hidraulik untuk memotong bahagian kereta.

“Mayat mangsa yang berjaya dibawa keluar diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 7.50 pagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN