PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menyifatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai seorang pemimpin berpengaruh yang membentuk Malaysia sehingga menjadi negara moden, berjaya dan terhubung dengan dunia seperti yang dikenali hari ini.
Dalam ucapan sempena ulang tahun kelahiran ke-100 negarawan ulung itu, Hsien Loong turut mengiktiraf sumbangan bekas Perdana Menteri itu di peringkat serantau khususnya dalam memperkukuh perpaduan ASEAN.
“Tun Mahathir merupakan seorang pemimpin yang berperanan besar membentuk Malaysia sebagai sebuah negara moden dan berjaya.
“Di peringkat ASEAN pula, beliau memperjuangkan kesatuan serantau, dengan keyakinan bahawa hanya dengan kekal bersatu kita mampu mempertahankan kemerdekaan yang telah dicapai dengan sukar,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Hsien Loong berkata, sumbangan Dr. Mahathir dalam perkhidmatan awam telah memberikan impak besar bukan sahaja kepada Malaysia, malah kepada rantau ini.
Pada masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-99 tidak lama lagi atas peranannya dalam memperjuangkan pelbagai isu sosial dan kesihatan rakyat.
“Dr. Siti Hasmah telah memainkan peranan penting dalam bidang penjagaan kesihatan ibu dan anak, serta memperjuangkan celik huruf di Malaysia. Sumbangan beliau tidak wajar dilupakan,” katanya.Hsien Loong turut mengenang hubungan erat antara Singapura dan Malaysia yang telah lama terjalin meskipun berdepan perbezaan dari semasa ke semasa.
“Singapura dan Malaysia telah lama berkongsi hubungan yang mendalam dan pelbagai. Walaupun tidak sentiasa sependapat dalam semua isu, kita tetap bekerjasama untuk mencari titik persamaan.
“Saya dan pendahulu saya amat menghargai peluang bekerjasama dengan Dr. Mahathir dan kami telah mencapai kemajuan dalam banyak perkara semasa pentadbiran masing-masing.
“Selamat Hari Lahir kepada Tun dan Dr. Siti Hasmah. Semoga terus dikurniakan kesihatan yang baik dan kebahagiaan bersama keluarga tercinta,” ujarnya.
Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah pernah menjadi tetamu khas semasa Sambutan Hari Kebangsaan Singapura 2019. – UTUSAN