PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kini sedang menjalani pemerhatian di Institut Jantung Negara (IJN) susulan masalah keletihan.
Menurut kenyataan ringkas daripada pejabat beliau, Dr. Mahathir bagaimanapun berada dalam keadaan stabil dan sedang berehat bagi memulihkan keadaan kesihatannya.
“Dr. Mahathir kini berada di bawah pemantauan pihak IJN akibat isu keletihan. Beliau sedang berehat dan dijangka dibenarkan pulang ke rumah pada petang ini.
“Pihak kami akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut dalam masa terdekat,” katanya hari ini.
Terdahulu, Dr. Mahathir mengalami kepenatan selepas mengayuh basikal dan terpaksa meninggalkan lebih awal Program Picnic & Potluck di Tasik Putrajaya, di sini pagi tadi.
Program yang berlangsung bersebelahan Yayasan Kepimpinan Perdana itu dianjurkan bagi meraikan sambutan kelahiran ke-100 Dr Mahathir pada 10 Julai lalu serta ulang tahun kelahiran ke-99 isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada 12 Julai.
Dr Mahathir tiba pukul 7.45 pagi dengan memandu sendiri kenderaan sebelum mengayuh basikal secara ‘tandem’ di sekitar tasik diiringi pegawai keselamatan khas.
Bagaimanapun, selepas menamatkan kayuhan sejauh kira-kira lapan hingga sembilan kilometer, beliau dilihat keletihan dan duduk berehat di kerusi seketika sebelum menuju ke meja sarapan yang disediakan.
Lebih 500 orang hadir memeriahkan program itu dan mengambil kesempatan bersarapan bersama keluarga secara santai bersama di tepi tasik. – UTUSAN