PUTRAJAYA: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) membuat semakan semula semua kelulusan melibatkan bot kenka dan pertukaran zon susulan teguran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkaitan perkara itu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Adnan Hussain berkata, pihaknya turut akan memperkemas garis panduan teknikal serta memperkukuh semakan silang dan audit dalaman.
Katanya, tindakan ini bertujuan memastikan sebarang kelemahan ditangani secara sistematik dan berkesan.
“Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan mengurus sumber perikanan negara, Jabatan bertanggungjawab memastikan sumber ini diurus secara lestari, berintegriti dan memberi manfaat kepada negara serta komuniti nelayan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, EAIC membuat teguran kepada Ketua Jabatan Perikanan selepas siasatan pihaknya mendapati wujud kelemahan dalam kelulusan permohonan melibatkan bot kenka.
EAIC memaklumkan, pihaknya menerima aduan berkaitan tindakan DOF meluluskan permohonan melibatkan bot kenka dan permohonan pertukaran zon yang dikatakan tidak mengikut ketetapan syarat atau pekeliling pelesenan serta bercanggah dengan dasar perikanan sedia ada.
Sehubungan itu, EAIC telah mengesyorkan dua tindakan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) iaitu memberikan surat teguran kepada Ketua Jabatan DOF bagi memastikan pematuhan terhadap dasar serta syarat yang ditetapkan jabatan tersebut.
Semua kelulusan yang telah diberikan kepada kapal-kapal yang terlibat perlu disemak semula bagi menjamin ketelusan dan pematuhan terhadap pekeliling sedia ada.
Dalam menangani isu itu, DOF mengalu-alukan dapatan tersebut sebagai asas penambahbaikan dalam memperkukuh tadbir urus serta pelaksanaan dasar perikanan negara.
Katanya, teguran EAIC akan dijadikan panduan penambahbaikan, malah pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang kelulusan yang bercanggah dengan dasar.
“Kami komited untuk menyemak semula semua proses bagi memastikan ketelusan dan pematuhan,” katanya.
Pada masa sama, DOF akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan tindakan pembetulan dapat dilaksanakan secara menyeluruh berlandaskan dasar, integriti tadbir urus dan kepentingan negara. – UTUSAN