PETALING JAYA: “Pertama kali jumpa, sudah menghakimi saya.”
Demikian respons pelakon dan penyanyi, Bella Astillah yang terkilan dirinya dilabel sombong oleh seorang individu gara-gara tidak menerima layanan baik daripadanya ketika berjumpa di sebuah konsert, baru-baru ini.
Meskipun enggan mengambil peduli tentang perkongsian tersebut, Bella menerusi ruangan komen terpanggil untuk menjelaskan situasi sebenar sekali gus menjernihkan keadaan.
“Mula-mula saya nak husnuzon (bersangka baik) yang itu bukan saya, tapi banyak sangat yang menyeru nama saya dan awak ada sebut konten dengan YB.
“Janganlah begitu, kadang kala panggilan telefon itu terlalu penting (orang meninggal ke, call dari sekolah anak-anak). Tetapi tidak mengapa ramai lagi yang kenal saya,” katanya.
Mengakui khilafnya, penyanyi lagu Lebih Indah Berpisah itu juga memohon maaf terhadap individu berkenaan yang kurang senang dengan tindakannya.
“Ketika saya buat persembahan walau penat macam mana pun saya akan layan. Maaf atas kesilapan dan kekurangan dari saya ya,” jelasnya.
Terdahulu, tular sebuah video seorang wanita meluahkan rasa kurang senang terhadap tindakan seorang selebriti yang bersikap tidak acuh ketika diminta untuk mengambil gambar bersama.
Meskipun tidak memetik nama mana-mana selebriti, rata-rata netizen mendakwa perkongsian individu berkenaan ditujukan kepada Bella sebelum video itu dipadam selepas beberapa jam dimuat naik.
“Saya ada jumpa dengan seorang artis ini, dia berasal dari Sabah. Saya jumpa ketika di konsert Rossa baru-baru ini.Saya cakap lah saya pun asal Sabah, tapi dia punya reaksi macam ‘krik-krik’.
“Kemudian saya ajak bergambar dan selepas bergambar saya ucap terima kasih. Tapi dia hiraukan saya dan terus angkat panggilan telefon,” luah netizen itu.-UTUSAN