KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) mengesahkan pertahanan dari Brazil, Diego Landis sebagai pemain import terakhir pasukan itu menjelang Liga Malaysia musim 2025/2026 yang membuka tirainya 8 Ogos ini.
Landis yang memiliki ketinggian 1.95 meter, hadir memperkukuh benteng pertahanan skuad Penyu yang dibimbing Badrul Afzan Razali.
Ketua Pegawai Operasi TFC, Mohd. Syahrizan Mohd Zin berkata Landis menandatangani kontrak bersama TFC selama setahun selepas lulus pemeriksaan kesihatan dan ujian kecergasan yang dijalankan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
“Landis bukan asing di pentas bola sepak Asia apabila pernah beraksi bersama beberapa kelab di Liga Thailand iaitu Nakhon Ratchasima FC dan Khon Kaen United FC. Gaya permainan tenang, disiplin tinggi serta kekuatan dalam perebutan bola udara menjadi antara kelebihan utama pemain ini,” ujarnya.
Kehadiran Landis mampu memberikan kestabilan kepada benteng pertahanan TFC yang sebelum ini dilihat bergelut dan kurang konsisten sepanjang musim lalu. Pemain berusia 27 tahun ini dijangka membuat penampilan sulung dalam siri aksi persahabatan pramusim yang akan berlangsung dalam masa terdekat.
Terdahulu, TFC menandatangani lima pemain import iaitu Yann Mabella (Perancis), Careca (Brazil), Gabriel Costa (Brazil), Junior Sam (Cameroon) serta menyambung kontrak pemain musim lalu kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov. – UTUSAN











