Dharma enggan bergantung duit sumbangan, rayu tawaran pekerjaan

Dharma enggan bergantung duit sumbangan, rayu tawaran pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon popular era 80-an, Dharma Harun, berkata dia tidak lagi mahu bergantung kepada sumbangan orang ramai sebagai sumber kewangan utama sebaliknya berharap menerima tawaran pekerjaan daripada mana-mana rumah produksi.

Menurut Dharma, 68, selain berlakon dia mempunyai pengalaman menerbitkan rancangan Deko Ibadah iaitu program ubah suai surau dan masjid yang pernah ditayangkan pada tahun 2002. 

“Sumbangan memang penting tetapi bukan ini yang saya perlukan sebaliknya tawaran pekerjaan. Tapi terus terang, duit nombor dua, paling utama ialah kerja. Bagilah saya kerja. Bila ada kerja, automatik duit boleh datang.

“Jika ada sesiapa yang boleh bantu bagi saya kerja, saya berpengalaman menerbitkan program sebelum ini,” katanya. 

Dharma ditemui Utusan Malaysia semasa Tayangan Khas filem Felai Fx di pejabat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Petaling Jaya pada Khamis.

Bukan itu sahaja, menurut pelakon Adik Manja itu, dia turut mengalami kemurungan namun bersyukur kerana masih mempunyai kawan-kawan yang datang berziarah di kediamannya yang terletak di Wangsa Maju. 

“Ramai juga kawan-kawan artis lama yang datang berziarah seperti Datuk DJ Dave, Noor Kumalasari dan Haiza. Apabila mereka datang, kami bercerita balik kisah-kisah lama. Saya rasa macam ‘hidup’ balik. Apabila saling tukar cerita saya terus jadi lebih ceria. 

“Cuma apabila mereka semua balik, saya kembali bersendirian di rumah. Aktiviti saya hanya tonton televisyen. Anak-anak pula pergi belajar. Cuma kalau ada pekerjaan, keadaan mungkin berbeza,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, penerbit, Richard Ung mengambil inisiatif membantu Dharma dengan memberikan peluang berlakon karakter seorang mafia menerusi filem aksi Felai Fx.

Menerusi majlis tayangan amal filem tersebut yang diadakan hari ini, pihaknya turut memberikan bantuan kewangan namun tidak mendedahkan jumlah sumbangan tersebut.

“Apa yang boleh saya beritahu, sumbangan itu cukup untuk bawa Dharma keluar dari kemelut yang dihadapi sekarang iaitu untuk bayar tunggakan sewa rumah dan kos sara hidup dalam tempoh tiga bulan sehingga anaknya menamatkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA),” katanya.

Mengulas mengenai tayangan filem Felai Fx di panggung, Richard berkata, dia belum mempunyai tarikh akhir tayangan filem arahan Zamri Zakaria itu buat masa ini.

“Saya putuskan buat tayangan khas filem ini terlebih dulu khusus untuk membantu Dharma dan dua anaknya terlebih dahulu.

“Saya berharap sumbangan kewangan yang diberikan itu dapat mengurangkan beban Dharma dan dua anaknya untuk meneruskan kelangsungan hidup. 

“Semoga dua anaknya tidak lagi mendapat kecaman dari netizen kerana tidak bekerja selepas ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN