‘BANYAK jasa Datuk Sheila Majid kepada kerjaya saya’
Kata Dayang Nurfaizah ketika mengimbau detik awalnya bergelar penyanyi. Ketika itu, usianya 19 tahun dan baru sahaja melancarkan album pertamanya Seandainya Masih Ada Cinta.
Tanpa media sosial ketika itu, artis bukan sahaja bergantung kepada media malah menunggu peluang daripada mana-mana artis senior sebagai pemudah cara bertapak di dalam industri.
Dayang ketika itu tidak menyangka Datuk Sheila Majid menawarkannya peluang untuk membuat persembahan pembukaan semasa konsertnya di Stadium Merdeka berpuluh tahun lalu.
“Saya diberikan kesempatan buat persembahan berskala besar untuk konsert Sheila Majid. Itu merupakan pengalaman paling berharga kerana beliau nampak bakat baru seperti saya layak diketengahkan.
“Bayangkan saya waktu itu baru umur 19 tahun. Baru pula keluarkan album. Tapi saya hargai momen itu. Kerana jasa Shiela Majid, selepas itu ramai cari tahu siapa Dayang.
“Mereka mula dengarkan lagu dalam album itu. Dari beliau saya belajar untuk selalu beri peluang kepada komposer mahupun penyanyi baru. Biar sama-sama ke hadapan dan berkongsi pentas,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Jelas penyanyi asal Sarawak itu lagi, menjadi seorang penghibur tidak lahir dari menghadiri kelas atau membaca apa yang tercatat dalam buku semata-mata. Tetapi, ia diukur bedasarkan seberapa kerap mereka berada di atas pentas.
“Peluang itu kadangkala tidak ada yang mahu beri. Jadi saya fikir, artis senior ada perlu beri jalan ini kepada mereka kerana bagi penyanyi, perkara yang paling penting adalah pengalaman beraksi di pentas.
“Sama juga dengan album, saya sambut baik mana-mana komposer baru yang mahu bekerjasama. Mereka semua wakar diberikan ruang. Mari kita kongsi pentas tentang orang berbakat.
“Saya faham perasaan menjadi ‘baru’ dan masih mencari rentak. Industri ini di masa hadapan terletak di tangan mereka juga,” jelasnya yang mengundang penyanyi baharu, Anwar Amzah dan Naki sebagai persembahan pembukaan untuk showcase akan datang.
Selepas ramai menantikan, Dayang bakal tampil dengan persembahan eksklusif Janji With Dayang di Top View, The Top, Pulau Pinang pada 23 Ogos dan Tower Terrace, Menara Kuala Lumpur pada 27 September.
Walaupun sudah meraih piala Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu berkali-kali. Dayang mengakui agak gementar sekiranya tiket tidak terjual.
Namun berkat sokongan peminat, tiket untuk dua lokasi itu sudah terjual sepenuhnya dalam masa singkat.
“Kerisauan tetap ada walaupun orang sangka saya sudah ada nama. Sebab bila bercakap tentang showcase atau konsert, ia melibatkan banyak pihak.
“Tapi saya lega dan terkejut juga selepas dimaklumkan tiket habis dalam masa singkat. Ada juga rakan artis nama besar yang beli juga tiket tanda sokongan.
“Saya juga difahamkan, ada ramai juga yang hubungi pihak penganjur untuk beli juga tiket walau sudah diumumkan habis terjual. Terima kasih atas sokongan semua.” kongsinya.
Terdahulu, Dayang melancarkan album Album Janji yang memuatkan 12 lagu gabungan komposert terkenal dan baharu termasuk Ajai, Aubrey Suwito, Audi Mok, Aisha Retno dan ramai lagi.-UTUSAN