Dasar Speed Selangor diperkenal, percepat urusan perniagaan

Dasar Speed Selangor diperkenal, percepat urusan perniagaan, pelaburan

AMIRUDIN SHAARI pada Program Publisiti dan Penyertaan Awam, Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Sepang, Selangor 2035 (Penggantian). - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kerajaan Negeri Selangor akan melancarkan Dasar Speed Selangor Oktober depan sebagai usaha mempercepatkan kelulusan urusan perniagaan dan kemasukan pelaburan di Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak enam atau tujuh kelulusan membabitkan urusan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dipercepatkan supaya memudahkan urusan semua pihak.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan dasar itu dapat dilancarkan secara rasminya pada Oktober 2025 sempena Selangor International Business Summit.

“Sebelum ini, setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai dasar kelulusan tersendiri namun, ia nanti akan dirangkumkan dalam satu platform,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam, Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Sepang, Selangor 2035 (Penggantian) di sini hari ini.

Katanya, buat masa ini, semua pegawai akan dilatih bagi mempercepatkan segala urusan supaya tidak berlaku sebarang gangguan dalam pelaksanaan Dasar Speed Selangor.

Amirudin berkata, fokus pertama adalah untuk kelulusan urusan-urusan bersama dengan pemaju, pelabur dan pembangunan dimana ada kelulusan yang biasanya dua bulan boleh dipendekkan menjadi satu bulan.

Dasar Speed Selangor memfokuskan kepada penambahbaikan prosedur dan urusan sedia ada agar lebih cepat dan cekap kepada pelabur dan pemaju.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, lima projek pemacu akan menjadi pemangkin utama transformasi Sepang dalam tempoh 10 tahun akan datang dalam Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Sepang Selangor 2035 (Penggantian) yang dilancarkan hari ini.

“Projek itu merangkumi segenap bidang termasuk bandar pintar berteknologi tinggi, koridor industri, aeroangkasa, jaringan pengangkutan awam dan rel serta mitigasi banjir yang bakal menjadi tulang belakang memacu kemajuan Sepang,” katanya

Katanya, lima projek pemacu berkenaan adalah Bandar Cyberjaya sebagai hab serantau teknologi tinggi, Pembangunan KLIA Aeropolis sebagai pusat logistik dan aeroangkasa bersepadu, Selatan Sepang sebagai destinasi pelancongan ekologi dan budaya serta Pelaksanaan Bandar Span dengan penyediaan infrastruktur hijau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN