MELAKA: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Melaka mendesak kerajaan negeri memberikan penjelasan mengenai justifikasi perbelanjaan penuh bagi projek naik taraf Jejantas Tun Teja di Melaka Sentral di sini, yang didakwa menelan kos sehingga RM8 juta.
Ketua DAPSY negeri, Cassel Krishnan berkata, ia berikutan pelbagai persoalan dan keraguan timbul dalam kalangan rakyat terutama selepas video tular menunjukkan kebocoran pada struktur jejantas yang baharu siap dan dibuka kepada umum, lima bulan lalu.
“Kita bukan nak menghentam atau mengkritik secara membuta tuli, tetapi sebagai rakyat dan pembayar cukai negeri Melaka, kita ada hak untuk tahu. Kalau benar kosnya RM8 juta, sila bentangkan justifikasinya. Kalau lebih atau kurang pun, nyatakan dengan telus.
“Kegagalan kerajaan negeri untuk menjelaskan butiran perbelanjaan hanya akan memburukkan persepsi rakyat terhadap ketelusan pengurusan projek infrastruktur di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan Jejantas Tun Teja, hari ini.
Cassel turut mempersoalkan sama ada kajian dan data mencukupi dilakukan bagi menilai kegunaan sebenar jejantas itu, khususnya dalam kalangan penduduk tempatan berbanding pelancong.
“Apakah tujuan utama pembinaan jejantas ini? Adakah ia benar-benar untuk kemudahan mobiliti rakyat atau sekadar menjadi tarikan pelancong? Jika untuk rakyat, mana datanya?
“Berapa ramai yang guna setiap hari? Kalau untuk pelancong, adakah pelancong benar-benar datang semata-mata untuk lihat jejantas ini?,” katanya.
Cassel berkata, keadaan fasiliti awam berhampiran seperti Melaka Sentral yang masih tidak ditambah baik sepatutnya diberikan keutamaan.
“Kami menggesa kerajaan negeri memberi keutamaan kepada penambahbaikan sistem perkhidmatan awam yang digunakan secara langsung oleh rakyat, berbanding projek yang lebih bersifat kosmetik atau berskala besar tanpa impak nyata kepada kehidupan harian penduduk,” katanya. – UTUSAN







