Dadah synthetic cannabinoid, amphetamine dijumpai dalam vape

Dadah synthetic cannabinoid, amphetamine dijumpai dalam vape

LUKANISMAN Awang Sauni melawat reruai sempena Hari Tanpa Tembakau dan TB Sedunia di IOI Mall, Kulai, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Dari 2024 hingga Mac tahun ini, sebanyak 96 kertas siasatan dibuka berhubung kes rokok elektronik atau vape mengandungi dadah.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, lebih 70 peratus daripadanya disahkan mengandungi dadah synthetic cannabinoid dan amphetamine.

Katanya, penguatkuasaan akan terarah kepada sumber, terutamanya di peringkat pembuatan dan perkilangan untuk menyemak kandungan cecair vape.

“Kita sedang menjalankan sesi libat urus yang lebih agresif dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), makmal-makmal kami juga membuat pemeriksaan lanjut mengenainya,” katanya selepas melancarkan Hari Tanpa Tembakau dan Hari Tuberkulosis (TB) Sedunia di IOI Mall di sini, hari ini.

Synthetic cannabinoid ialah sejenis bahan kimia tiruan yang direka untuk meniru kesan THC (tetrahydrocannabinol) iaitu bahan utama dalam ganja yang menyebabkan kesan khayal.

Amphetamine pula dadah perangsang sistem saraf pusat yang digunakan secara perubatan untuk merawat beberapa keadaan tetapi sering disalahgunakan kerana kesan euforia dan peningkatan tenaga diberikannya.

Pada Mei lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau isu penggunaan vape yang didakwa melibatkan penyalahgunaan dadah.

KKM juga meneliti peraturan sedia ada, sekiranya aspek penguatkuasaan masih relevan menangani permasalahan tersebut.

Lukanisman berkata, penguatkuasaan bersama PDRM juga memfokuskan pihak yang menghasilkan cecair dadah dalam vape.

“Kita belum lagi arif berkenaan punca, di mana dan siapa pengeluar vape yang meletakkan kandungan dadah dalam katrij ataupun dalam cecair vape tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN