JOHOR BAHRU: Empat individu termasuk dua wanita Vietnam berdepan hukuman mati kerana didakwa di Mahkamah Majistret, di sini atas lima pertuduhan mengedar dan memiliki lebih 13 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah, bulan lalu.
Tertuduh, Ching Hin Leong, 46; Pham Thi Quy, 26; Tay Wei Bin, 36, dan Nong Thi Nhinh, 29, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret A. Shaarmini.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa mengedar dadah jenis serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat kasar 12kg dan jenis pil MDMA dengan anggaran berat kasar 375 gram (g) di sebuah apartmen di Jalan Tanjung Puteri 1, di sini pada 19 Jun lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa, manakala hanya Pham Thi Quy diwakili peguam bela, VS Selvanteran.
Di mahkamah berasingan, kesemua tertuduh berdepan tiga pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine anggaran berat kasar 7g, nimetazepam (berat kasar 520g) dan ketamin 25g di lokasi, masa dan tarikh sama pertuduhan pertama.
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Bagi kes itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Tasnim Saleh, manakala Thi Quy diwakili VS Selvanteran dan Hin Leong diwakili peguam bela, Siti Nadia Yahya.
Hin Leong turut berdepan tiga pertuduhan memiliki dadah jenis MDMA berat kasar 4.64 kg, methamphetamine 79g dan nimetazepam 28g pada masa, tarikh dan lokasi sama.
Mahkamah menetapkan 4 September depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. – UTUSAN