“Saya memang mahu bawa watak antagonis, tapi bila dikaitkan pula dengan isu sensitif seperti mandul, saya harap tidak dapat watak seperti ini lagi. Saya sudah serik.”
Demikian luah pelakon, Ayda Jebat yang mengakui tidak semua peranan mampu digalas dengan mudah terutama apabila menyentuh isu sensitif dalam kalangan wanita, iaitu kesukaran mendapatkan zuriat atau ‘mandul’.
Biarpun sudah acap kali tampil membawakan watak antagonis dalam pelbagai drama popular tempatan, ibu kepada dua anak itu mengakui watak antagonis dalam drama baharu, Mandul Bukan Pilihan mempunyai cabaran berbeza sehingga memberi kesan kepada kehidupan peribadi dan emosinya.
“Kalau boleh saya tidak mahu bercakap tentang watak saya. Sebenarnya saya suka dan sangat teruja untuk bawa watak Farah ini kerana ia bukan tipikal wanita jahat yang biasa.
“Saya sendiri bagitahu kepada pengarah, jika watak ini sama seperti drama-drama lain, saya tidak akan terima watak ini. Namun, pengarah yakinkan saya bahawa watak ini berbeza.
“Saya perlu buat orang benci saya tapi pada masa sama, tindakan saya itu ada betulnya juga. Dia juga sebenarnya baik.
“Saya perlu jadi jahat, baik dan beremosi pada masa yang sama,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media Astro Home of Drama baru-baru ini.
Ayda berkata, dia banyak menonton dan mengkaji pelbagai drama serta mengaitkannya dengan isu-isu semasa bagi menonjolkan karakter tersebut.
“Saya tonton banyak drama. Gabungkan watak-watak yang bersesuaian dan juga banyak kaitkan dengan isu-isu semasa dan trending. Saya kaji karakter mereka dalam setiap drama.
“Sangat susah sebenarnya watak ini, bila ada babak yang berat saya kena buat atau tercakap sesuatu yang sangat kasar bagi saya, saya akan minta maaf kepada pelakon itu.
“Malah, saya juga minta pengarah untuk buang babak kasar tersebut jika terlalu sensitif. Namun, pengarah akan bersikap rasional dan yakinkan saya bahawa watak seperti itu memang wujud di dunia nyata,” katanya.
Menyedari tajuk drama itu sendiri sudah mampu menimbulkan reaksi kemarahan, Ayda sudah bersedia untuk menerima kecaman, namun mengharapkan serangan tidak dilontarkan kepada dirinya secara peribadi mahupun ahli keluarganya.
“Sebelum drama ini ditayangkan, saya mahu minta maaf terlebih dahulu kepada semua penonton. Sila meriahkan ruangan komen media sosial saya tapi biarlah untuk watak Farah sahaja.
“Watak ini memang sangat menguji kesabaran lebih-lebih lagi bila menyentuh isu sensitif. Janganlah doakan yang bukan-bukan untuk saya.
“Insya-Allah, saya sudah persiapkan mental. Namun, saya rasa penonton masa kini sudah semakin bijak menilai watak. Watak antagonis mereka lebih suka, tapi saya harap mereka semua tidak terpengaruh,” jelasnya.
TIADA PENYESALAN
Bagaimanapun, Ayda sedikit pun tidak menyesal membawa watak sebegini, malah dia mahu mencabar keupayaan dirinya sebagai seorang pelakon.
“Saya tak menyesal terima tawaran watak ini. Saya sangat suka dan nikmati bawak karakter tersebut. Ia mencabar kredibiliti sebagai seorang pelakon untuk bawa watak antagonis dalam cara yang berbeza.
“Kadang-kala saya terlepas juga lakonkan karakter orang jahat, tapi bagusnya abang Osman Ali (pengarah), dia akan tegur watak saya bukan sebegitu,” ujarnya.
Mengulas mengenai isu wanita yang berhadapan dengan cabaran untuk mendapatkan zuriat, Ayda mengakui dirinya sendiri tidak mampu memahami secara menyeluruh perasaan sebenar mereka yang melalui situasi tersebut.
“Kalau ikutkan, apabila kita sudah berlakon dalam drama yang mengupas isu TTC atau trying to conceive, emosi adalah sesuatu yang sangat berat bagi saya.
“Sebab kita sebagai wanita memang tidak akan faham situasi bagaimana mereka hadapi. Walaupun saya berlakon, saya tidak akan faham perasaan sebenar mereka. Saya cuba tapi tetap tidak boleh.
“Jadi, saya harap bila drama ini keluar, kita sedikit sebanyak dapat membantu dari segi semangat dan sistem sokongan, harap tiada trauma buat mereka. Lupakan perkara negatif yang disampaikan dalam drama ini,” tambahnya.
Drama Mandul Bukan Pilihan kini sudah mula ditayangkan bertemu penonton menerusi slot MegaDrama di Astro Ria dan Astro Go, pukul 10 malam.
Drama ini dibintangi Hun Haqeem, Mira Filzah, Ashraf Muslim, Normah Damanhuri dan ramai lagi.-UTUSAN