KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, CEO Batu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas pertuduhan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang remaja perempuan, dua bulan lalu.
Tertuduh yang nama sebenarnya Muhamad Iqbal Muhamad, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.
Tertuduh didakwa menunjukkan kemaluannya agar dilihat mangsa berusia 13 tahun di sebuah kediaman di Sunway Batu Caves, dekat sini pada pukul 1.16 pagi, 16 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(a)(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan melapor diri di balai polis setiap bulan serta dilarang mengganggu mangsa.
Esok, CEO Batu akan didakwa di Mahkamah Majistret Selayang atas tuduhan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana menyimpan gambar lucah dalam telefon bimbit.
Berita lanjut menyusul.-UTUSAN