BESUT: Seorang peniaga wanita cedera di kedua-dua belah tangan selepas disamun seorang lelaki yang menyamar sebagai pembeli.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md. Sani Md. Saleh berkata, dalam kejadian kira-kira 8.48 malam tadi, mangsa berusia 31 tahun menghantar kuih sejuk beku yang ditempah suspek di sebuah kawasan di jalan Tembila dekat Kampung Raja, di sini.
“Ketika kejadian, mangsa ingin menyerahkan kuih frozen kepada suspek sebelum lelaki terbabit mengeluarkan sebilah pisau dan cuba mengambil kunci keretanya.
“Mangaa menghalang tindakan suspek menggunakan tangan sehingga menyebabkannya luka di bahagian tangan kanan dan kiri,” katanya di sini hari ini.
Ujarnya, setelah percubaan samun yang dilakukan gagal suspek telah melarikan diri dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 kanun keseksaan. – UTUSAN