HULU TERENGGANU: Enam pelajar tingkatan lima sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Melaka yang didapati terlibat kejadian buli pada Jumaat lepas dikenakan tindakan buang sekolah.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan tersebut diambil selepas pihak Jawatankuasa Disiplin MRSM selesai bersidang dan menjalankan siasatan berhubung perbuatan berkenaan.
“Saya terima banyak makluman daripada pengikut dalam laman sosial berhubung kejadian tersebut sejak Sabtu lalu dan mengarahkan pihak pengurusan kemukakan laporan dengan segera.
“Jawatankuasa disiplin sudah bersidang dan memang didapati benda itu berlaku. Mereka (enam pelajar terlibat ) terus dibuang, berkuat kuasa serta-merta walaupun mereka pelajar tingkatan lima.
“Pihak pengurusan Mara diingatkan tidak melayan sebarang rayuan daripada mana-mana pihak sebagai pengajaran kepada pelajar lain. Tiada kompromi terhadap sebarang perbuatan buli atas apa jua alasan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu 2025 di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur, Jenagor, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata memaklumkan pihaknya sedang menemuduga beberapa calon untuk dilantik sebagai warden asrama di MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang dan MRSM Besut, Terengganu pada Ogos ini.
Katanya, bagi projek rintis itu pihaknya akan melantik satu MRSM tiga warden lelaki dan tiga warden wanita yang mana sekiranya berjaya ia akan diperluas ke 57 buah MRSM lain. – UTUSAN










