‘Bukan glamor yang dikejar, tapi mahu cari duit’ - Utusan Malaysia

‘Bukan glamor yang dikejar, tapi mahu cari duit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memulakan langkahnya dalam dunia seni lakon sejak di usia belasan tahun, pelakon, Nelissa Nizam, sebenarnya tidak menyangka perjalanannya dalam industri seni mampu pergi sejauh ini.

Bukan apa, cerita Nelissa, pada asalnya, dia ‘terjun’ ke dalam dunia seni ini kerana mahu mencari duit poket pada waktu itu.

Akal seorang anak remaja, ketika itu, tidak langsung terbit di fikirannya untuk mengejar populariti apatah lagi membayangkan dirinya bersaing dengan mana-mana artis lain yang sedia ada gah dalam industri seni.

“Saya masuk industri semata-mata untuk cari duit. Bukan sebab nak popular atau kejar glamor. Saya cuma nak survived pada waktu itu.

“Sebenarnya, kalau nak tahu, saya tak pernah merasai pengalaman bekerja di pejabat, pukul 9 hingga 5 petang. Sebab selepas tamat tingkatan lima, saya terus mula sertai uji bakat. Tak kisah di mana-mana pun.

“Ada hari sampai enam uji bakat saya hadiri. Jadi memang saya ini asalnya sekadar pelakon tambahan di set. Pernah sahaja berlakon sekadar lalu lalang tanpa dialog di depan kamera, bayaran RM50 pada waktu itu, saya buat juga sebab nak cari duit.

“Dengar macam tak berbaloi bulan? Tetapi waktu itu memang saya nak cari duit. Tak ada fikir pun nak glamor atau popular,”katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui tidak pernah malu dengan permulaannya sebagai pelakon tambahan.

Kata Nelissa, bergelar pelakon tambahan sebelum ini umpama satu pengalaman dan pembelajaran yang berharga buat dirinya sementelah ketika itu, dia juga tidak pernah tahu mana-mana kelas seni lakon untuk disertai.

Maka, jelas Nelissa, setiap kali berada di set penggambaran, itu juga adalah kelas praktikal dan ‘sekolah seninya’ yang membolehkan dia mengasah bakat dengan lebih tajam.

“Setiap kali ada job, saya belajar. Cara bercakap, gerak tubuh, pemakaian, karakter, semua kena ada ilmu. Bukan lakonan semata-mata.

“Saya banyak belajar di set sebab maklumlah, tak pernah tahu ada kelas lakonan dan jika ada pun pada waktu itu, kita belum mampu lagi sebab nak simpan duit.

“Jadi saya banyak raih ilmu dan kemahiran berlakon itu di set bersama pengarah, barisan pelakon termasuklah memahami pergerakan set dengan tenaga belakang tabir yang lain.

“Jadi apabila dapat watak besar, saya rasa puas. Sebab saya dah bertahun-tahun berlatih. Bila orang cakap saya lambat naik, saya senyum. Saya tahu perjalanan saya unik,” ujarnya tenang.

Melayangkan pertanyaan mengenai wujudnya layanan berunsur double-standard ketika dia bergelar pelakon tambahan, kata Nelissa, perkara itu tidak dinafikan wujud.

Bagaimanapun, dia tidak memukul rata dengan mendakwa semua produksi mengamalkan tatacara begitu terhadap pelakon-pelakon yang terbabit dalam sesebuah set penggambaran.

“Ada set yang memang kita boleh tengok beza makanan dan layanan. Tapi ada juga yang layan semua sama rata. Ia bergantung pada budaya dan sikap produksi itu sendiri.

“Bagaimanapun saya rasa bersyukur sebab selama saya dah berada dalam industri seni ini, tak pernah lagi saya berdepan dengan situasi seperti itu.

“Semua orang yang saya jumpa di set setakat ini, Alhamdulillah, baik-baik semuanya,”akuinya.

Dalam pada itu, kongsi Nelissa lagi, dia juga ada didekati oleh pelakon-pelakon tambahan lain yang bertanyakan tips mengenai dunia lakonan dengannya.

“Biasanya kalau orang bertanya, saya tak akan lokek untuk kongsi apa yang saya tahu. Tak salah pun. Tambahan pula saya pun sedar diri bahawa suatu ketika dahulu, bergelar pelakon ‘ekstra’, itulah saya.

“Saya selalu cakap, jangan pandang kecil kerja ekstra. Kalau betul ini minat, teruskan. Jangan berhenti. Walau bayaran RM50 pun, langkah pertama itu yang penting,”katanya.

Dalam pada itu, bintang filem Impak Maksima 2 ini huga menyatakan keterujaannya untuk menanti tayangan penuh naskhah garapan Dr Ahmad Idhan itu Julai ini.

Digandingkan bersama barisan pelakon ternama seperti Zul Huzaimy, Datuk Seri Eizlan Yusof, Dynas Mokhtar, dan Muhsin Nadzli, kata Nelissa, pembabitannya dalam filem ini mengukir satu langkah penting dalam perjalanan seninya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN