BMS bawa seniman muda ke persada antarabangsa

Bakat Muda Sezaman bawa seniman muda ke persada antarabangsa

ERRY ARHAM AZMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAKAT Muda Sezaman atau lebih dikenali dengan BMS bukan hanya medan melahirkan jaguh kampung sebaliknya mengangkat seniman muda Malaysia untuk berada di persada pentas antarabangsa.

Keadaan ini dapat dilihat apabila BMS yang diperkenalkan sejak tahun 1974 oleh Balai Seni Lukis Negara untuk mencungkil bakat-bakat muda telah melahirkan ramai seniman tersohor dalam arena seni visual Malaysia dan serantau.

Kurator Balai Seni Lukis Negara, Erry Arham Azmi berkata, BMS adalah sebuah pertandingan dan anugerah seni kontemporari bagi pelukis muda dalam mencari platform mengembangkan karier dan mempamerkan karya mereka.

“Pada awalnya, BMS dikenali sebagai Pameran Pelukis Muda Sezaman yang mana Balai Seni bersetuju mewujudkan ruang pameran dengan menjemput seramai 13 artis muda yang berkaliber pada sekitar tahun berkenaan.

“Sebelum ini, BMS dianjurkan pada setiap tahun namun setelah kita menukar corak dan kaedah pertandingan, penganjuran ini dibuat dua tahun sekali,”katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

BMS EDISI Ke-29

Meskipun BMS telah memasuki usia 51 tahun sejak diperkenalkan, pertandingan akan datang adalah edisi ke 29.

Erry Arham berkata, sepanjang tempoh itu terdapat pembaharuan dan penambahbaikan telah dibuat bagi penganjuran BMS ini.

“Pertandingan kali ini akan berlangsung pada tahun hadapan. Cuma ingin saya berkongsi, menerusi BMS dan ruang yang kita buka ini, ramai yang awalnya pelukis muda menjadi seniman ternama sekarang,” jelasnya.

EVOLUSI BMS

Pertandingan BMS ini tidak hanya bermakna memberikan pengiktirafan kepada pelukis, tetapi juga menyediakan tempat untuk pelukis berkarya menerokai idea dan cara terbaru.

Memasuki era 80-an cara pembentangan karya oleh pelukis muda telah berubah dan tidak lagi terikat dengan seni catan, arca, print sahaja sebaliknya berbentuk instalasi.

Katanya, terdapat evolusi cara karya dipamerkan sehingga 2021 yang mana terdapat perubahan besar.

“Saya kira satu anjakan paradigma yang berbeza daripada bakat muda sebelum ini yang mana BMS ini dilihat dalam konteks desentralisasi dan tidak lagi dihantar di ruang pameran ini.

“Jika dulu, karya-karya dihantar ke ruang pameran ini (Balai Seni Negara) untuk dipertandingkan, dijuri selain penyampaian hadiah juga di ruang galeri ini.

“Namun, pada waktu ini, kita tidak lagi guna kaedah tersebut sebaliknya BMS mula mengetengahkan idea yang mana seniman muda boleh buat artwork mereka di mana sahaja mereka berada,” jelasnya.

LOKASI YANG SPESIFIK

Pada 2023, pertandingan BMS masih menggunakan konsep seni di lokasi yang mana memperlihatkan pengkarya bebas dan tidak terikat dengan ruang pameran.

Namun, Erry Arham berkata, pertandingan BMS pada tahun ini dan hadapan akan memberi fokus kepada satu kawasan atau daerah.

“Konsep kali ini adalah lokasi yang spesifik namun ia masih lagi mengekalkan elemen desentralisasi. Cuma kita mahu seniman muda mencari keunikan di lokasi tersebut.

“Tambahan pula, tahun depan adalah Tahun Melawat Malaysia, jadi ini sebahagian usaha Balai Seni Negara untuk mengetengahkan daerah-daerah yang ada di Malaysia,” ujarnya.

FOKUS KESEDARAN, KESEDIAAN DAN PENERIMAAN

Pada tahun ini, Balai Seni Negara mewujudkan wacana bagi membincangkan karya-karya seni, tatakelola seni dan apa sahaja aspek berkaitan seni visual.

Katanya, terdapat tujuh wacana seni akan dianjurkan di sekitar Kuala Lumpur dan merata tempat bagi membicarakan mengenai BMS.

“Dari segi kesedaran, kita akan adakan simposium dan bakal bekerjasama dengan seniman antarabangsa pada bulan Oktober ini.

“Simposium ini adalah proses kesedaran kepada seniman muda ini apa mereka patut buat, kaedah-kaedah yang digunakan oleh seniman-seniman senior,” jelasnya.

Selepas Balai Seni Negara membuka pertandingan BMS, pelukis muda menghantar proposal dan mereka akan dipilih sebelum perlu menghadiri bengkel.

Erry Arham berkata, bengkel ini adalah bagi menguatkan seniman muda membuat karya-karya bersifat komuniti atau tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN