PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bersatu Port Dickson sebulat suara meluluskan usul agar peralihan kepimpinan parti yang menyaksikan Datuk Seri Hamzah Zainudin disaran mengambil alih peranan sebagai Presiden, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Usul yang dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian itu turut mencadangkan Muhyiddin diberi peranan sebagai penasihat dan mentor kepada parti.
Menurut Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson, Akkil Aizat Othman, pertukaran itu perlu bagi memastikan kestabilan dan hala tuju parti yang lebih jelas menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Tidak dinafikan bahawa kepimpinan Muhyiddin memainkan peranan terutama ketika Covid-19. Namun kami berpendapat kelemahan pucuk pimpinan sangat ketara sejak akhir-akhir ini.
“Justeru, pertukaran ini perlu bagi memastikan kestabilan dan hala tuju parti yang lebih jelas menjelang Pilihan Raya Umum ke-16,” kata Akkil menerusi satu video.
Akkil turut mengkritik prestasi parti yang disifatkan terlalu perlahan dalam mendepani isu-isu rakyat, meskipun terdapat peluang emas apabila kerajaan dilihat melakukan pelbagai kesilapan dalam mengurus negara.
Usul ini dijangka mencetuskan perbincangan lanjut di peringkat kepimpinan pusat Bersatu, terutama berhubung masa depan Muhyiddin yang telah menerajui parti sejak penubuhannya. – UTUSAN