AMERIKA SYARIKAT: Penyanyi rap terkenal, P. Diddy berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun selepas didapati bersalah atas dua tuduhan pelacuran berkaitan bekas teman wanitanya, Cassie Ventura dan seorang wanita dikenali sebagai Jane.
Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan Amerika telah membebaskan penyanyi itu daripada tiga pertuduhan lebih serius iaitu pemerdagangan seks terhadap dua individu dan konspirasi jenayah terancang.
Menerusi sebuah laporan akhbar, mahkamah turut menolak permohonan ikat jamin P. Diddy dan membawanya ke Pusat Tahanan Metropolitan di Brooklyn, Amerika Syarikat sementara menunggu hukuman.
Keputusan tersebut telah dibuat oleh Hakim Arun Subramanian selepas pihak pendakwaan membangkitkan risiko P. Diddy melarikan diri dan mengganggu saksi-saksi penting dalam kes berprofil tinggi tersebut.
Hasil perbicaraan yang dijalankan selama tujuh minggu itu, P. Diddy didakwa telah memaksa dua bekas kekasihnya menyertai aktiviti seksual ekstrem yang dikenali sebagai ‘Freak Offs’.
Difahamkan, dua wanita tersebut perlu melakukan aktiviti tersebut bersama pekerja seks lelaki sambil dirinya menonton dan merakam perlakuan tersebut.
Pun begitu, mereka menegaskan segala aktiviti seksual yang berlaku adalah atas dasar suka sama suka meskipun pihak pembelaan mengakui terdapat unsur keganasan dalam hubungan peribadi P. Diddy.
Sebelum ini, penyanyi lagu I’ll Be Missing You itu dilaporkan mengalami masalah depresi susulan penahanannya sejak September 2024.
Menurut sumber dalaman, penyanyi yang berusia 55 tahun itu turut menjalani rawatan khusus bagi mengurangkan tekanan dan memantau tahap kesihatan mentalnya.
P. Diddy dijangka akan mengemukakan rayuan terhadap sabitan tersebut selepas hukuman dijatuhkan nanti.
Pada 16 September tahun lalu, P. Diddy ditahan pihak polis di sebuah hotel di Manhattan. Susulan penahanan tersebut ramai golongan selebriti turut dikaitkan menjadi mangsa perbuatan kejinya termasuk, Justin Bieber, Usher, Jaden Smith dan Meek Mill. Diddy bagaimanapun tidak mengaku atas semua tuduhan berkenaan.-UTUSAN