KE mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Pepatah itu tepat menggambarkan aktor berkaliber, Faizal Hussein, yang mewarisi bakat seni ibu bapanya iaitu pasangan seniman dan seniwati, Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail.
Faizal meneruskan legasi orang tuanya, selepas lebih lima dekad beliau terus berbakti dalam dunia seni yang dicintainya.
Pembabitan aktor ini dalam bidang lakonan bukanlah kebetulan sebaliknya sebahagian jalan kehidupan yang sudah tertulis.
Malah, Faizal sudah mula beraksi depan lensa kamera sejak usianya lima tahun menerusi filem Darah Panglima yang terbitkan pada tahun 1975.
Disebabkan persamaan wajah dengan arwah ayah, saya dipilih pengarah, S. Kadarisman untuk melakonkan watak kanak-kanak dalam filem itu.
“Pada masa sama, saya ada juga muncul sebagai pelakon kanak-kanak dalam beberapa filem seperti Penyamun Si Bongkok pada 1973 dan Bunga Padi Berdaun Lalang (1975).
“Sekitar era 70-an itu, kadar bayaran pelakon cilik paling maksimum adalah RM10. Nilainya besar ketika itu. Cukup untuk beli set makanan berserta minuman,” katanya.
Meskipun dilahirkan dalam keluarga seni, Faizal pada awal tidak pernah bercita-cita mengikut jejak langkah orang tuanya.
“Malah pada awal dulu tak adalah saya suka dengan bidang ini. Lakukannya pun kerana terpaksa.
“Namun lama kelamaan, hati terpaut dan timbul keikhlasan dalam bekerja.
“Bertitik tolak dari situ, perjalanan saya dalam bidang lakonan, lancar, mudah dan berpanjangan serta dikurniakan rezeki berlakon dan menang pelbagai anugerah,” jelasnya.
PERNAH DIBULI
Pada masa sama, Faizal memaklumkan bergelar anak pelakon mendatangkan pengalaman membesar yang berbeza dengan kanak-kanak lain. Ada harga yang harus dibayar kerana tempias populariti orang tuanya.
“Kebanyakan anak selebriti mesti lalui apa yang saya tempuhi dalam hidup. Jadi, anak pelakon ini ada kelebihan dan kekurangannya.
“Berdasarkan pengalaman, tekanan lebih banyak di sekolah rendah sebab menjadi tumpuan kerana bergelar anak pelakon.
“Yang tidak seronoknya apabila saya selalu menjadi mangsa buli di sekolah. Barang selalu disorok pelajar lain. Keadaan itu membuatkan saya sedikit tertekan.
“Saya pasti ada anak selebriti lain yang hadapi perkara ini. Sebab itu dulu, ada anak selebriti yang nekad berhenti sekolah kerana tak mahu dibuli pelajar lain,” katanya.
Kongsi Faizal lagi, dia pernah turut dibenci disebabkan lakonan ayahnya yang pernah melakonkan watak jahat.
“Biasalah, ada orang suka kita ada juga yang tidak. Macam dulu, disebabkan ayah saya selalu pegang watak antagonis, maka saya turut kena tempiasnya sampaikan ada cikgu yang tak suka saya.
“Saya hanya mampu terima keadaan itu dan tak boleh salahkan mereka,” kongsinya.
CONTOHI PROFESIONALISME BAPA
Selain semula jadi berbakat dalam lakonan, pengalaman lebih lima dekad jugalah yang hari ini menjadikan Faizal Hussein seorang aktor yang berkredibiliti.
Faizal boleh disifatkan bertuah kerana sepanjang perjalanan kariernya, beliau menimba banyak ilmu daripada pelakon pelakon yang lebih berpengalaman seperti arwah bapanya, iaitu Allahyarham Hussein Abu Hassan.
Malah, pelakon yang dilahirkan di Gombak, Selangor ini pernah bekerja di bawah pengarahan bapanya dalam beberapa filem antaranya Senja Merah.
“Antara sifat arwah yang saya contohi sampai hari ini adalah sikap profesionalisme beliau ketika bekerja.
“Kalau di rumah, beliaulah suami dan bapa yang paling penyayang. Namun ketika duduk di kerusi pengarah, beliau yang paling tegas dan garang.
“Semasa bekerja di bawah pengarahan beliau, saya tetap dilayan seperti pelakon pelakon lain. Tiada istilah ada kelebihan kerana bergelar anak pengarah,” kongsinya.
BUNOHAN
Faizal menyebut watak Ilham yang dilakonkannya dalam filem Bunohan apabila disoal tentang karakter paling mencabar yang pernah dibawakannya.
Kata Faizal, beliau bekerja keras untuk memastikan watak itu tidak kelihatan kekok apabila ditonton khalayak.
Penat lelah beliau menghidupkan watak itu terbalas dengan kemenangan trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-25.
“Bukan senang membawa watak ini kerana menuntut kebolehan berdialek Kelantan, selain kemahiran dalam pertarungan.
“Banyak kelas yang saya sertai, antaranya bahasa, pertarungan dan lakonan semata-mata untuk memastikan saya betul-betul bersedia membawakan watak itu.
“Dan pada masa sama, saya perlu melalui proses tertentu bagi memastikan kulit saya nampak lebih gelap mengikut kriteria ditulis,” katanya.
WALID
Besar impak yang diterima Faizal selepas watak Walid yang dilakonkannya dalam drama Bidaah, mendunia.
Disebabkan karakter tersebut, nama Faizal Hussein meniti di bibir penonton generasi baharu dan negara seberang, Indonesia.
Kata Faizal, beliau bersyukur dengan perhatian yang diterima hasil keberkesanan watak Walid.
Namun padanya, yang lebih menggembirakan apabila drama tersebut membuka mata ramai pihak mengenai ajaran sesat.
“Saya gembira apabila drama ini bukan sahaja diterima baik, malah mendedahkan kegiatan ajaran sesat yang berleluasa.
“Difahamkan beberapa ketua ajaran sesat di Indonesia ditangkap selepas drama ini ditonton ramai di Indonesia.
“Saya lega kerana mesej yang saya sampaikan menerusi watak Walid diterima baik. Inilah hasil yang saya mahu lihat terhadap lakonan yang saya lakukan,” katanya.