PETALING JAYA: “Tolong berhenti fitnah, saya tiada kena mengena,”
Demikian rayuan pelakon, Alya Iman, yang turut terkejut apabila namanya dikaitkan sebagai orang ketiga dalam rumah tangga pasangan selebriti Yusuf Bahrin dan Zizi Kirana.
Jelas Alya, dia terkilan kerana namanya menjadi sebutan hanya sebab bergandingan dengan Yusuf dalam sebuah drama ‘Si Bakhil dengan Bunganya’.
“Hanya sebab drama kami tengah tayang sekarang, saya pun kena serang.
“Saya tak tahu apa-apa masalah yang dia (Yusuf) hadapi. Tidak adil masalah rumah tangga dia, saya pula jadi kambing hitam.
“Sekali lagi, saya harap masyarakat di luar berhentilah fitnah saya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Malah, pelakon drama Anggun Mikayla itu juga menegaskan tidak pernah menyimpan nombor telefon Yusuf apatah lagi berhubung dengan suami penyanyi rap itu.
“Saya tak simpan nombor telefon dia demi menjaga nama baik bila berkerja dengan pelakon lelaki berstatus suami orang.
“Kami di set memang baik, saya anggap dia macam abang saja. Saya sangat profesional, di luar set saya memang tak akan hubungi dan berkawan dengan dia,” tambahnya.
Jelasnya, dia kecewa kerana menjadi sasaran kecaman oleh warga maya yang tidak tahu hujung pangkal khabar angin tersebut.
“Saya tak kisah kalau viral mengenai perkara yang saya sendiri buat macam pakai baju seksi, saya tak kisah. Sebab itu betul dan saya sedia hadap.
“Kalau perkara yang cuba memfitnah saya tak berminat nak tahu sebab saya penat jaga nama baik,” luahnya.
Terdahulu, rumah tangga Yusuf Bahrin dan Zizi Kirana dikatakan sedang goyah apabila tidak lagi mengikuti Instagram masing-masing.
Bagaimanapun, Yusuf menafikan perkara itu selain menegaskan hubungannya dan Zizi berada dalam keadaan baik.
Yusuf Bahrin dan Zizi Kirana berkahwin pada 19 September 2021 di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju. –UTUSAN