Bekas pramugari pecah rekod ASEAN, ubah suai 39 kondominium tempoh 30 hari

Bekas pramugari pecah rekod ASEAN, ubah suai 39 kondominium tempoh 30 hari

MICHELLE Lai (tiga dari kanan) bersama kakitangannya bersama plak penghargaaan ASEAN Records.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang bekas pramugari meraih pengiktirafan ASEAN Records selepas berjaya mengubah suai kediaman terbanyak dalam tempoh sebulan.

Michelle Lai, 47, menerusi syarikatnya Auntie Michelle Resources (M) Sdn. Bhd. diiktiraf dalam ASEAN Records apabila berjaya mengubah suai 39 unit kondominium di sekitar Kuala Lumpur dalam tempoh 30 hari.

Pencapaian luar biasa itu bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, malah membuktikan bahawa wanita juga mampu mencabar dominasi lelaki dalam dunia binaan, reka bentuk dalaman dan pengurusan hartanah.

Mengimbas kembali permulaan kisahnya, Michelle berkata, segalanya bermula selepas dia kehilangan pekerjaan ketika pandemik Covid-19 pada 2020, yang menyaksikan operasi penerbangan dihentikan serta-merta.

“Dulu saya berdiri di ketinggian 30,000 kaki, kini saya berdiri di tapak binaan dan saya bangga dengan kedua-dua kerjaya yang pernah saya ceburi ini.

“Saya memulakan langkah pertama dalam bidang ini dengan membantu mengecat, membersih dan menghias rumah kosong milik rakan-rakan saya.

“Kini, usaha kecil itu berkembang menjadi sebuah syarikat yang memiliki pasukan profesional, selain berjaya mengurus dan mengubah suai puluhan unit hartanah di ibu negara ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, projek ubah suai ekstrem 39 unit kondominium itu mencatat 192 jam kerja kumulatif dalam tempoh sebulan merangkumi pemasangan perabot, kerja cat, reka bentuk dalaman serta pengiklanan penyewaan.

Jelasnya lagi, semua binaan itu dijalankan secara sistematik dan terancang mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Lebih membanggakan, Michelle berkata, dia kini turut aktif melatih wanita muda menceburi bidang binaan, reka bentuk dan pengurusan hartanah di mana bidang itu sebelum ini hanya dikuasai lelaki.

“Kerja keras saya berbaloi apabila dapat membantu ramai orang dan sekali gus mengharumkan nama negara,” katanya.

Katanya, ketika ini, syarikatnya sedang membangunkan sebuah platform digital interaktif bagi membantu pemilik rumah mempelajari strategi sewaan, mengakses kajian kes serta membina jaringan komuniti pelaburan hartanah di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN