Bayaran Insentif Pakar Pra-Warta untuk pegawai perubatan tamat latihan pakar - Utusan Malaysia

Bayaran Insentif Pakar Pra-Warta untuk pegawai perubatan tamat latihan pakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan telah meluluskan pelaksanaan Bayaran Insentif Pakar Pra-Warta (BIPPW) kepada pegawai perubatan yang sedang menjalani tempoh pengalaman kerja diselia atau Supervised Work Experience (SWE) selepas tamat latihan kepakaran.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi kenyataan memaklumkan, SWE merupakan fasa percubaan wajib yang perlu dilalui semua pegawai perubatan selepas menamatkan latihan kepakaran.

Katanya, mereka akan diselia oleh pakar perubatan lebih kanan bagi memastikan tahap kompetensi yang diperlukan sebelum berkhidmat sebagai pakar sepenuhnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelasnya lagi, bayaran insentif BIPPW ini akan mula diberikan sebaik sahaja pegawai memulakan tempoh SWE selaras dengan Akta Perubatan (Pindaan) 2024 [Akta A1729] yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.

“Sebelum Akta Perubatan 1971 dipinda pada tahun 2024, proses ini dikenali sebagai Proses Pewartaan Pakar di mana pegawai tersebut hanya akan menerima Bayaran Insentif Pakar (BIP) setelah berjaya menamatkan proses pewartaan.

“Kini dengan pelaksanaan BIPPW, pegawai tidak perlu lagi menunggu sehingga selesai pewartaan untuk menerima ganjaran setimpal.

ADS:D

“Kadar bayaran bagi BIPPW adalah sama seperti kadar bayaran bagi BIP dan ditetapkan mengikut gred hakiki pegawai melibatkan Gred 10 hingga 14,” katanya.

Menurut KKM, pemberian insentif ini adalah satu bentuk pengiktirafan terhadap komitmen dan beban tugas yang ditanggung oleh pegawai semasa menjalani tempoh SWE, memandangkan mereka telah melaksanakan tugas-tugas seperti seorang pakar perubatan.

“Langkah ini juga memberi impak positif terhadap kebajikan warga kerja KKM, di samping meningkatkan motivasi serta memastikan kesinambungan perkhidmatan perubatan kepada rakyat,” jelas kenyataan itu.

KKM berkata, dengan penguatkuasaan Akta A1729, sistem latihan kepakaran kini lebih teratur dari sudut perundangan. 

Menurutnya, pengamal perubatan yang sebelum ini terjejas akibat isu pendaftaran pakar termasuk dalam bidang Pembedahan Kardiotorasik, Perubatan Keluarga, Pembedahan Plastik dan Patologi Generik kini boleh dipertimbangkan untuk pendaftaran mengikut proses yang ditetapkan.

“KKM turut memberi jaminan bahawa dengan pelaksanaan BIPPW, pegawai perubatan yang menjalani SWE kini tidak perlu lagi bimbang mengenai elaun atau insentif yang mereka layak terima.

“KKM komited untuk terus memperkasa sistem kesihatan negara, dan berharap semua pegawai perubatan dapat memberikan sumbangan berterusan demi kesejahteraan masyarakat,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN