KANGAR: Inisiatif BAS.MY Medik diperluaskan ke negeri ini bagi membantu memudahkan pesakit mendapatkan rawatan menggunakan perkhidmatan tersebut.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif tambahan itu diperkenalkan dengan meletakkan syarat kepada pengendali BAS.MY bagi menyediakan perkhidmatan pintu ke pintu secara tempahan.
Katanya, perkhidmatan itu akan membawa penumpang mobiliti terhad seperti penumpang berkerusi roda untuk tujuan mendapatkan rawatan perubatan misalnya ke pusat dialisis, klinik kesihatan atau mana-mana destinasi.
“Perkhidmatan ini dikenali sebagai BAS.MY Medik dan akan diperkenalkan dengan kadar tambang berpatutan,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST) BAS.MY Kangar di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Anthony Loke berkata, Program SBST Kangar kini telah disambung sehingga tahun 2029 dengan beberapa penambahbaikkan membabitkan jenis bas, laluan dan kemudahan untuk pengguna.
“Saya ingin memaklumkan bahawa pelaksanaan BAS.MY di Kangar melibatkan sembilan laluan merangkumi keseluruhan negeri ini serta turut menghubungkan bandar Kangar dan Bandaraya Alor Setar.
“Melalui inisiatif BAS.MY Kota Setar ini, sebanyak 24 buah bas terdiri daripada 20 bas mini dan empat bas mini low floor digunakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pas bulanan perjalanan tanpa had Kad 30 Hari BAS.MY turut diperkenalkan di Kangar di mana pengguna perlu membayar RM50 untuk perjalanan tanpa had di semua sembilan laluan untuk tempoh 30 hari.
Katanya, tambang percuma melalui Kad Konsesi BAS.MY turut diperkenalkan di Kangar untuk golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas, orang kurang upaya (OKU) dan pelajar sekolah berusia tujuh hingga 17 tahun.
“Kemudahan ini turut diperluaskan kepada mahasiswa, penuntut politeknik, kolej komuniti dan matrikulasi seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2025,” katanya. – UTUSAN










