Bangkai helikopter terhempas dijangka dinaikkan esok atau lusa

Bangkai helikopter terhempas dijangka dinaikkan esok atau lusa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bangkai helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas ke dalam Sungai Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri di sini, Khamis lalu dijangka dinaikkan esok atau lusa.

Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Noor Sham Md Jani berkata, bangkai helikopter berkenaan masih lagi di dasar Sungai Pulai.

Beliau berkata, kotak rakaman suara antara pesawat dengan anggota yang bertugas di bawah semasa kejadian masih berada di dalam bangkai helikopter berkenaan.

“Itu yang kita nak (rakaman) dengan komunikasi macam mana yang berlaku pada hari tersebut (untuk siasatan),” katanya kepada pemberita selepas melawat kru helikopter yang terlibat di lobi Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini.

Noor Sham berkata, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersedia membantu menaikkan bangkai helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu.

“Dengan adanya bantuan daripada agensi terbabit, proses menaikkan (bangkai helikopter) lebih cepat supaya Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) menjalankan siasatan dengan lebih lanjut tentang apa insiden yang berlaku pada hari tersebut,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian pada pukul 10.25 pagi Khamis lalu, lima kru helikopter PDRM itu terhempas ke dalam Sungai Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri di sini.

Insiden itu berlaku ketika helikopter melakukan lintas hormat Latihan Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura 2025 (MITSATOM 2025).

Akibat kemalangan itu, dua kru iaitu Koperal Adeline Liu Yan Sin dan Konstabel R.G Devendran dilaporkan kritikal.

Manakala, juruterbang Asisten Komisioner Faizul Muhammad, pembantu juruterbang, Superintendan Ahmad Bustamin Baharom serta Sarjan Siti Latipa Khairuddin turut cedera.

Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN