Australia terus buka pasaran kepada ASEAN

Australia terus buka pasaran kepada ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasaran negara Australia terbuka luas untuk ASEAN sebagai usaha mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi dan strategik serantau.

Menteri Luar Australia, Penny Wong berkata, usaha itu juga adalah berteraskan manfaat dan tanggungjawab bersama dalam mengekalkan keamanan, kemakmuran serta keterbukaan serantau.

“Pasaran kami akan terus terbuka kepada anda. Kami akan terus mematuhi perjanjian perdagangan dan memperkukuhkannya lagi, termasuk melalui penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand.

“Langkah ini demi kepentingan bersama, untuk kami dan juga semua,” katanya ketika berucap pada Forum Australia bersama ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Wong kini dalam rangka lawatan kerja ke Malaysia sempena Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri ASEAN bersama Australia, yang diadakan bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM).

Dalam pada itu, Wong memaklumkan ASEAN kekal rakan dagang kedua terbesar Australia, dengan jumlah dagangan antara ASEAN dan Australia pada 2019 mencecah AU$122.2 bilion.

“Bagi Asia Tenggara, Australia terus komited sepenuhnya, melaksanakan lebih daripada setengah bilion dolar inisiatif yang diumumkan semasa Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia tahun lalu, dalam menangani isu-isu penting yang dikongsi bersama.

“Menerusi Strategi Ekonomi Asia Tenggara Australia, kami berhasrat untuk membina lebih banyak peluang dan kemakmuran bersama dalam bidang keselamatan tenaga, daya tahan iklim, pendidikan dan banyak lagi,” katanya.

Wong turut menekankan bahawa Australia telah lama membuka ekonominya kepada rantau ini dengan menghapuskan halangan tarif serta komited terhadap integrasi ekonomi.

“Australia telah lama membuka ekonominya kepada rantau ini dan dunia. Malah, penyahkawalseliaan pasaran buruh telah membawa kepada pembaharuan pasaran modal dan kadar pertukaran di Australia.

“Penyandang jawatan sebelum saya sudah menghapuskan halangan tarif, dan saya boleh memberi jaminan bahawa perkara ini tidak akan berubah,” kata beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN