ASUF 2025: Prasarana sedia bas ulang-alik ke lokasi tumpuan

ASUF 2025: Prasarana sedia bas ulang-alik ke lokasi tumpuan

NGA Kor Ming pada Majlis Pelancaran bas sempena Forum Perbandaran Mampan ASEAN (ASUF) di Pusat SDG Kuala Lumpur hari ini. -FACEBOOK PRASARANA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik khas Rapid KL sepanjang 10 hingga 15 Ogos ini, sempena penganjuran Forum Pembangunan Bandar Mampan ASEAN (ASUF) 2025.

Ia meliputi laluan utama termasuk KLCC, Bukit Bintang dan beberapa lokasi tumpuan pelancong di pusat bandar.

Menurut Prasarana, langkah itu bertujuan meningkatkan keterhubungan dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, selari dengan matlamat mobiliti mampan dan bandar karbon rendah yang menjadi fokus forum tersebut.

Katanya, perkhidmatan itu disediakan sebagai sebahagian daripada penglibatannya sebagai Penyedia Mobiliti Rasmi ASUF 2025, sekali gus memperkukuh komitmen dalam menyokonG agenda pembangunan lestari di peringkat tempatan dan serantau.

“Perkhidmatan ini bukan sahaja memudahkan pergerakan peserta forum dan pelancong, malah menjadi platform untuk mempromosikan kemudahan pengangkutan awam yang efisien dan mesra alam di Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita di Pusat SDG Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Prasarana turut melancarkan dua bas Rapid KL dua tingkat yang dibalut khas sebagai simbol rasmi penyertaan dalam ASUF 2025.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif sepanjang forum itu berlangsung, Prasarana turut menganjurkan lawatan teknikal ke pusat kawalan operasi dan depoh, di samping menyertai sesi forum dan libat urus serta membuka reruai pameran korporat.

“Penglibatan ini membuktikan usaha berterusan Prasarana dalam menggerakkan amalan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) serta menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui penyediaan pengalaman perjalanan yang selesa dan lestari,” katanya.

ASUF 2025 dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi agensinya URBANICE Malaysia dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sekretariat ASEAN, UCLG ASPAC dan UN-Habitat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN