KUALA LUMPUR: ASEAN menerima permohonan dari pelbagai negara untuk menjadi rakan sektoral serta rakan dialog.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimanapun pihaknya terpaksa meletakkan moratorium terhadap permohonan berkenaan kerana tidak mahu suara ASEAN ditelan akibat kehadiran yang terlalu banyak rakan sektoral serta dialog.
“Banyak negara yang mahu dan sedang menunggu serta memohon untuk menjadi rakan sektoral dan rakan dialog. Tapi kita ada moratorium kerana dah terlampau banyak sangat.
“Kita ada 10 (negara anggota) atau nanti dengan Timor Leste ada 11 (negara anggota), rakan dialog kita pun dah 11, nanti negara kita 11, dia pula ada 30?” katanya ketika ditemui media selepas Mesyuarat Trilateral antara Malaysia, Turkiye dan Sekretariat ASEAN, di sini, hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Luar Republik Turkiye, Hakan Fidan dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Sebelum ini, media melaporkan ASEAN sedang mempertimbang usaha menjadikan Turkiye sebagai rakan dialog dalam masa terdekat.
Perkara itu disahkan Mohamad sambil menyifatkan Turkiye memainkan peranan yang baik sebagai salah satu rakan sektoral ASEAN. – UTUSAN










