ASEAN Campur Tiga perlu diperkukuh hadapi cabaran global 

ASEAN Campur Tiga perlu diperkukuh hadapi cabaran global 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerjasama ASEAN Campur Tiga (APT) perlu diperkukuh sebagai strategi utama dalam menghadapi cabaran global dan serantau yang semakin kompleks.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cabaran global itu termasuklah persaingan kuasa besar, gangguan teknologi, dan peningkatan ancaman rentas sempadan.

“Kini, kita sedang diuji, rantau ini sedang menghadapi ‘ribut’ dimana cabarannya pelbagai, unilateralisme dan nasionalisme semakin meningkat, menjejaskan multilateralisme yang penting bagi kestabilan dunia.

“Namun begitu, saya yakin bahawa dengan keteguhan bersama dan komitmen kukuh terhadap dialog serta kerjasama, kita akan berjaya sekali lagi,”  katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Plus Three ke-26 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. 

Persidangan kali ini turut menyaksikan penyertaan sulung Menteri Luar Jepun, Iwaya Takeshi dalam mesyuarat APT.

Kerjasama ASEAN Campur Tiga ini ditubuhkan pada tahun 1997 untuk menyelaras tindak balas serantau terhadap krisis kewangan pada ketika itu, namun ia dapat diatasi dengan menyelaras tindak balas tersebut. 

Menurut Mohamad, mesyuarat pada hari ini turut membuktikan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama ASEAN Campur Tiga sebagai pemangkin keamanan, kestabilan, dan kemakmuran di Asia Timur. 

“Terdapat perkembangan yang menggalakkan baru-baru ini. Antaranya ialah kelulusan Kemudahan Pembiayaan Pantas (Rapid Financing Facility-RFF) di bawah Inisiatif Pelbagai Hala Chiang Mai (CMIM), serta momentum hasil kenyataan para Pemimpin mengenai Ekosistem Kenderaan Elektrik pada 2023 dan Pengukuhan Rantaian Bekalan Serantau pada tahun lalu. 

“Ini bukan kejayaan yang bersifat terasing. Ia membuktikan keupayaan APT untuk menjana nilai, bertindak dengan pantas dan memimpin dengan pandangan jauh,” katanya. 

Dalam pada itu, Mohamad turut  menekankan bahawa transformasi digital ASEAN dijangka menyumbang kira-kira AS$2 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau ini dengan kepakaran digital China, Jepun dan Republik Korea yang dilihat sebagai pemacu utama kepada potensi ekonomi serantau.

“Inisiatif-inisiatif ini menyokong objektif Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk merapatkan jurang pembangunan, membolehkan pembangunan saksama, menggalakkan pertumbuhan mampan, memupuk keamanan melalui kepercayaan dan kerjasama, meningkatkan taraf hidup dan modal insan, serta memupuk perpaduan sosial dan penyertaan secara inklusif dan lestari,” ujarnya. 

Gabungan ASEAN Campur Tiga kini mewakili 2.28 bilion penduduk dengan jumlah KDNK sekitar AS$29.33 trilion, bersamaan 25.77 peratus daripada KDNK global.

Skala ini sekali gus mencerminkan pengaruh strategik dan tanggungjawab besar terhadap kestabilan dan pembangunan dunia. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN